ADUN Teruntum, Sim Chon Siang (dua dari kiri) bersama penduduk Kampung Tengah dan kontraktor pembinaan pembentung meninjau keretakan dan mendapan rumah di Kampung Tengah Kuantan hari ini

KUANTAN – Penghuni dua buah rumah di Kampung Tengah, di sini boleh menarik nafas lega apabila kebimbangan mereka terhadap situasi rumah yang mendap dan retak bakal berakhir tidak lama lagi.

Mereka sebelum ini membuat aduan kepada pihak kontraktor dan wakil rakyat mengenai situasi itu yang disedari selepas pembinaan saluran pembentung kira-kira satu meter daripada rumah mereka sejak setahun yang lepas.

Menurut Teo Poh Hoon, 50, terdapat kesan mendapan kira-kira 5 sentimeter (cm) serta keretakan yang dikesan di sekitar pintu rumah dan pagar berhampiran kawasan longkang di belakang rumahnya menimbulkan kebimbangan mereka sekeluarga.

Teo Poh Hoon

“Ketika proses pembinaan itu pun, kami di dalam rumah sudah boleh merasakan gegaran kerana terlalu hampir. Dan apabila sudah siap, saya keluar periksa dan melihat keadaan longkang saya sudah retak.

“Pintu dan dinding belakang rumah pun retak. Lebih menyedihkan kerana ketika itu saya baru enam bulan siap mengecat rumah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Teo yang tinggal di rumah itu bersama lapan lagi ahli keluarganya sejak 30 tahun lepas berharap agar pihak kontraktor mengambil tanggungjawab dan menyelesaikan masalah terbabit.

Seorang lagi penghuni rumah berdekatan iaitu Pua Kih Leong, 43 yang tinggal bersama tiga ahli keluarga turut berkongsi harapan sama agar proses pembaikan dapat diselesaikan secepat mungkin.

Pua Kih Leong menunjukkan keretakan pada longkang rumahnya di Kampung Tengah, di sini hari ini

“Projek ini baru selesai tahun lepas. Saya sudah bercakap dengan kontraktor dan katanya mereka akan ambil tindakan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Teruntum, Sim Chon Siang turut hadir ke lokasi terbabit hari ini bersama pihak kontraktor terlibat bagi mendapatkan jalan penyelesaian pantas isu itu.

Beliau berkata, semua projek pembentung melibatkan Kampung Tengah, Kampung Baru, Bukit Setongkol, Medan Warisan dan Indera Mahkota kini siap 95 peratus, maka mana-mana penghuni rumah yang berhadapan keretakan atau mendapan disaran tampil memaklumkan kejadian itu untuk tindakan segera.

“Saya hanya terima tiga aduan berkenaan kerosakan selepas proses pembinaan pembentung ini. Bermakna kontraktor ini efektif dan bagus dalam kerja mereka ketika proses pembinaan.

“Tapi saya harap perkara ini dapat diselesaikan segera,” katanya.

Difahamkan, projek naik taraf sistem pembentungan tersebut telah bermula sejak bulan Ogos tahun 2022 dan akan siap sepenuhnya menjelang hujung tahun ini. – MalaysiaGazettte

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast