ISKANDAR PUTERI – Tular satu video memaparkan sebuah kereta dipandu secara melulu dan berbahaya di kawasan pemeriksaan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Tanjung Kupang di sini semalam.
Video tular berdurasi 33 saat itu dimuat naik menerusi akaun Facebook Malaysia – Singapore Border Crossers (MSBC) dan mengundang pelbagai reaksi antara netizen dua negara tersebut.
Sehubungan itu kata Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan, pihaknya sedang mengesan pemandu kereta terbabit yang melarikan diri daripada ditahan di KSAB.
Pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 2.40 petang daripada polis bantuan kompleks berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kereta bernombor pendaftaran di Malaysia itu telah memasuki laluan kenderaan berat di pintu Gate C bagi laluan masuk dari Malaysia ke Singapura.
“Petugas telah mengarahkan pemandu supaya membuat pusingan U ke laluan kenderaan ringan, namun arahan itu tidak dipatuhi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sebaliknya suspek bertindak memecut laju sehingga melanggar palang milik pos pemeriksaan Jabatan Imigresen serta empat kon keselamatan yang berada di laluan berkenaan sebelum menuju ke arah pintu keluar ke Singapura.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri 07-5113622 atau hotline 07-5114486.
Polis turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang serta bertanggungjawab menjaga keselamatan dan harta awam, khususnya di kawasan pemeriksaan sempadan negara.- MalaysiaGazette
















