Ab Rahaman mengadakan sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru hari ini, berkenaan 12 akaun TikTok yang dikenal pasti menggunakan suara dan wajah Exco untuk menipu orang ramai.

JOHOR BAHRU – Menggunakan suara serta wajah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail bagi menyampaikan maklumat Bantuan Kasih Johor (BKJ) dalam akaun TikTok.

Terdapat 12 akaun TikTok yang beroperasi di luar negara dikesan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang menyampaikan maklumat berkaitan BKJ secara tidak sah bertujuan untuk menipu dan menjalankan aktiviti scam.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor mengesahkan menerima satu laporan polis daripada Khairin-Nisa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom itu pada 20 Februari lalu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati akaun-akaun itu dipercayai menyebarkan maklumat tidak benar dan bukan merupakan akaun rasmi milik Khairin-Nisa.

“Empat akaun TikTok berkenaan menggunakan suara dan wajah Khairin-Nisa manakala selebihnya mempromosikan BKJ secara tidak sah dan bertujuan memperdayakan orang ramai.

“Akaun-akaun ini sedang dalam penelitian lanjut bagi mengenal pasti pemilik sebenar serta penglibatan mana-mana pihak dalam aktiviti berunsur penipuan atau penyebaran maklumat palsu,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor di sini hari ini.

Pihaknya tidak menolak kemungkinan kewujudan pelbagai akaun itu merupakan satu modus operandi terancang yang menggunakan teknologi Al bagi meniru personaliti individu berprofil tinggi untuk meningkatkan kepercayaan orang ramai.

Ab Rahaman percaya, kaedah tersebut digunakan untuk mencuri maklumat peribadi dan data iaitu apabila mereka yang berdaftar, scammer akan menggunakan nombor telefon, nombor kad pengenalan serta nombor akaun.

“Apabila dapat nombor telefon dia akan buat panggilan telefon untuk scam dan nombor akaun bank pula, akan digodam untuk keluarkan duit,” katanya.

Siasatan mendapati katanya, terdapat akaun TikTok berkenaan baru dibuka pada 9 Februari lalu dan ada yang dibuka lebih awal.

Jelas beliau, scammer menggunakan logo BRK bagi meyakinkan orang ramai menekan pautan diberikan dan memberi gambaran seolah-olah semua rakyat Johor layak mendapat BRK.

Menurutnya, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Johor menjalankan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengenal pasti pemilik akaun terlibat.

Jelasnya, ini termasuk mengambil tindakan sewajarnya termasuk memohon supaya akaun dan kandungan tersebut diturunkan dengan segera.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan melakukan penipuan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penyalahgunaan kemudahan rangkaian, katanya.

“Setakat ini, belum ada mangsa dikenal pasti dan tiada sebarang kerugian kewangan dilaporkan,” ujarnya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada, membuat semakan sebelum percaya dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran yang meragukan.

“Sebarang maklumat rasmi hendaklah dirujuk melalui saluran rasmi Kerajaan Negeri Johor. Be Smart, Stay Alert. Scam boleh dicegah namun, kesedaran kunci utama,” tambahnya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast