KUALA LUMPUR – Seramai 13 warga Indonesia ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi pemeriksaan dan penguatkuasaan di Tapak Bazar Ramadan, Seksyen 13, Laman Niaga Komuniti, Bandar Baru Bangi, semalam.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, seramai 720 telah diperiksa membabitkan 693 warga tempatan, 25 warga Indonesia dan dua lelaki Bangladesh di kesemua 143 tapak bazar itu.
“Hasil pemeriksaan mendapati enam lelaki dan tujuh wanita warga Indonesia berusia antara 18 hingga 40 tahun disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua warga asing yang ditahan telah dibawa ke Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, operasi bermula jam 3.55 petang itu dilakukan hasil maklumat dan pemantauan yang dijalankan bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen khususnya di kawasan tumpuan awam seperti bazar Ramadan.
Tegas beliau, sepanjang Ramadan ini, tindakan inspektorat dan pemeriksaan akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa di mana-mana Bazar Ramadan seluruh negara.
“JIM tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram sekali gus gagal mematuhi undang-undang imigresen.
“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana individu atau majikan yang melindungi atau menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI),” jelasnya. – MalaysiaGazette
















