JOHOR BAHRU – Beberapa lelaki Islam bertempiaran lari dan tidak sempat membeli makanan semasa penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) melakukan serbuan di sebuah restoran mamak di sini.
JAINJ dalam satu kenyataan memberitahu, ketika operasi menangkap mereka yang tidak berpuasa pada pukul 11 pagi, mereka melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak penguat kuasa.
“Mereka dipercayai cuba membeli makanan secara bungkus namun bertindak berpatah balik ke kenderaan masing-masing,” maklum JAINJ dalam kenyataan.
Menurut JAINJ, penguat kuasa masuk ke restoran itu dan menuju ke bahagian belakang premis dan menemui seorang lelaki warga Bangladesh berusia 30-an sedang makan nasi kandar dengan pelbagai lauk dan sebotol air mineral.
“Lelaki yang merupakan peniaga serta jurukira kaunter itu mengaku lapar dan penat bekerja,” jelas jabatan berkenaan.
Dalam serbuan di kedai makan Melayu di daerah ini, anggota penguat kuasa mendapati seorang lelaki berusia lingkungan 40-an sedang minum teh tarik.
Lelaki itu kelihatan panik sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa dan cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan.
“Lelaki yang tidak bekerja itu mendakwa mengalami masalah paru-paru dan batuk sehingga perlu minum pada siang hari, namun gagal mengemukakan sebarang surat pengesahan doktor.
“Malah, tindakannya sekadar berlakon batuk di hadapan penguat kuasa menimbulkan keraguan,” kata JAINJ.
Dalam pada itu, di meja sama seorang lagi lelaki berusia 50-an ditahan kerana minum kopi O panas dengan memberi alasan tidak bangun sahur akibat tersalah menetapkan jam penggera telefon.
“Di meja sebelah, juga ditahan seorang lelaki umur 50-an sedang minum air nescafe panas dan air suam. Dia yang sedang bekerja di bangunan berhampiran juga memberi alasan lupa bersahur.”
Penguat kuasa turut menahan seorang lelaki warga Indonesia yang merupakan pemilik premis kerana membenarkan tiga lelaki Islam berkenaan makan di kedai miliknya.
“Lelaki itu mendakwa telah menegur pelanggan terbabit, namun tidak diendahkan dan mendakwa mereka baru sahaja duduk sebelum serbuan dilakukan.”
Sementara itu, dalam operasi di Tangkak pula pada pukul 9 pagi, seorang lagi lelaki warga Bangladesh berusia 30-an ditahan ketika minum kopi O di sebuah kopitiam milik bukan Islam.
Menerusi operasi di Johor Bahru dan Tangkak itu, dijalankan bermula pukul 9 dan 11 pagi, JAINJ menahan enam lelaki Islam berusia antara 29 hingga 55 tahun.
Tambah JAINJ, lupa bersahur dan sakit antara alasan diberikan kerana tidak berpuasa dan mereka ditahan bawah Seksyen 15 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor dan akan didakwa di Mahkamah Syariah.
JAINJ menasihatkan umat Islam agar menghormati kesucian Ramadan serta tidak mencemarinya dengan perbuatan makan, minum atau merokok dalam khalayak ramai.- MalaysiaGazette
















