KUALA LUMPUR – Pelakon, Azhan Rani memberi kata-kata semangar kepada rakan seperjuangan, Amyza Aznan atas pemergian anak sulungnya, Allahyarham Andre Mikhail yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru semalam.
Kata Azhan, sepanjang tempoh mereka menjalani penggambaran bersama sebelum ini, dia memahami setiap emosi duka yang disorok Amyza itu.

“Kau dah buat yang terbaik untuk dia. Selebihnya Allah SWT yang punya kuasa. Aku tahu ramai dah cakap tentang sabar, kuat dan reda. Aku pun tahu kau sendiri lebih tahu jawapannya sebab kau yang berdepan dengan semua ini.
“Sejak hari kita ada penggambaran bersama baru-baru ini, aku tahu kau simpan macam-macam yang tak mahu ditunjukkan epada orang lain di sebalik gurau dan gelak seperti tiada apa-apa setiap hari,” tulis di hantaran Instagram miliknya di sini hari ini.
Azhan turut berharap Amyza terus kuat dengan semangat daripada Allah dan mendoakan roh Andre ditempatkan bersama golongan orang yang soleh.
“Apa pun, aku cuma doakan saat ini Allah peluk kau, anak- anak dan seluruh ahli keluarga kau.
“Semoga juga Allah sediakan tempat terbaik untuk Andre bersama orang-orang yang beriman. Syurgalah tempatnya, insya-Allah,” ujarnya.
Sementara itu, Azhan sempat memohon maaf kerana tidak berkesempatan menziarahi Amyza sekeluarga atas kekangan kerja.
“Maaf tak dapat nak menziarahmu saat ini kerana masih ada penggambaran di Sarawak. Insya-Allah ada rezeki nanti aku ziarah. Semoga dimudahkan serta dilancarkan segala urusan.
“Al-Fatihah buat allahyarham Andre Mikhail Khairil Izhar,” katanya lagi.
Semalam, Amyza memaklumkan Andre, 20, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur selepas hampir setahun bertarung melawan kanser paru-paru tahap tiga.
Hari ini, jenazah Andre disolatkan Masjid Al-Khairiah AU3 Keramat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana sekitar pukul 10.30 pagi tadi.
Terdahulu, sekitar tahun lalu, Amyza mengesahkan Andre, 20, menghidap kanser paru-paru tahap tiga.
Amyza seterusnya sekali lagi diuji pada Ramadan tahun ini apabila Adrian, 18, pula disahkan menghidap kanser tulang. – MalaysiaGazette
















