Azlina menunjukkan 50 kad gores dan menang setiap hari sebagai tarikan unik buat pelanggan Inn Tepung Pelita di One Krubong, Melaka pada Ramadan kali ini.

MELAKA – Seorang peniaga tepung pelita di One Krubong tampil dengan idea luar biasa apabila memperkenalkan kad gores dan menang sebagai tarikan unik buat lebih 1,000 pelanggannya sepanjang Ramadan ini.

Bukan sekadar membeli juadah berbuka, pelanggan Inn Tepung Pelita kini berpeluang membawa pulang hadiah menerusi 50 kad gores dan menang yang ditawarkan setiap hari.

Azlina Abdullah, 49, berkata, inisiatif itu diperkenalkan sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan setia selain meneruskan tradisi pemberian sampul duit raya yang dilakukan saban tahun.

Menurutnya, pelanggan yang membeli tiga pek tepung pelita mengandungi enam bekas kuih berharga RM20 layak menyertai cabutan gores dan menang dengan hadiah berupa bekas makanan serta botol air plastik.

“Sebelum ini, bermula 10 Ramadan kita beri sampul duit raya dan tahun ini pun sama, cuma pada awal Ramadan ini kita tambah dengan gores dan menang.

“Usaha ini sekadar suka-suka untuk menggembirakan pelanggan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Azlina (tengah) melihat pekerjanya memberikan hadiah berupa botol air kepada pelanggan selepas layak menerima kad gores dan menang sebagai tarikan unik Inn Tepung Pelita di One Krubong, Melaka pada Ramadan kali ini.

Azlina yang sudah empat tahun berniaga di situ berkata, sambutan diterima amat menggalakkan apabila 28 dulang tepung pelita yang dibawa masuk setiap hari habis terjual.

Bekalan tepung pelita berkenaan diambil dari Kampung Kubang, Nilai, Negeri Sembilan sebelum dijual pada harga RM7 sebungkus mengandungi enam bekas kuih berlapis santan dan pandan itu.

“Insya-Allah, pulangan itu tetap ada asalkan kita tidaklah terlalu berkira berniaga pada bulan Ramadan ini.

“Setiap hari, saya akan berulang-alik mengambil bekalan dari Kampung Kubang ke Melaka dan mula berniaga seawal 3 petang sehingga hampir waktu berbuka,” katanya.

Dia yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor berkata, peluang berniaga tepung pelita di Melaka bermula apabila seorang sahabat yang sebelum ini berjualan di lokasi sama jatuh sakit dan memintanya meneruskan perniagaan tersebut.

“Pada hari biasa, saya berniaga sarapan pagi di Alor Gajah dan hanya menjual tepung pelita pada Sabtu dan Ahad sahaja tapi sepanjang Ramadan ini saya berniaga tepung pelita setiap hari dan dijangka sehingga 27 Ramadan bergantung kepada bekalan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast