KUALA LUMPUR – Polis giat memburu lelaki yang bertindak mencuri kunci pendua dan cuba menceroboh kawasan Balai Islam/Surau Batang Kali, di Selangor pada 22 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung itu sekitar jam 10 pagi semalam.
“Dalam kejadian jam 9.25 malam itu, menerusi rakaman kamera litar tertutup CCTV mendapati individu tidak dikenali bertindak mengumpil dan menggeledah raga motosikal milik jemaah yang diparkir di luar Balai Islam itu menggunakan sebatang kayu.
“Suspek juga dilihat cuba menceroboh masuk ke dalam Balai Islam namun gagal kerana terdapat jemaah yang sedang menunaikan solat terawih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu katanya, polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di talian 03-60651021 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette
















