Pihak imigresen merampas barang-barang selepas melakukan serbuan di sebuah rumah teres jadi pejabat perbaharu permit kerja asing di Johor Jaya, Johor Bahru hari ini.

 JOHOR BAHRU – Sebuah rumah teres dua tingkat di Johor Jaya di sini dijadikan sebagai pejabat bagi urusan permohonan dan memperbaharui permit pekerja asing.

Lebih licik, premis berkenaan menggunakan beberapa nama ahli keluarga sebagai proksi untuk mendaftarkan syarikat bagi mendapatkan kuota pekerja asing.

Pekerja asing tersebut kemudian dibekalkan kepada mana-mana syarikat yang memerlukan dengan jumlah bayaran tertentu.

Bagi mendapatkan untung lebih, semua pekerja itu ‘diikat’ dengan mewajibkan permohonan memperbaharui permit  dilakukan menerusi syarikat berkenaan dengan bayaran antara RM4,000 hingga RM5,000 bagi tempoh setahun.

Syarikat berkenaan dipercayai mampu meriah keuntungan kira-kira RM5 juta setahun hasil urus niaga tersebut kerana mengawal 2,300 pekerja asing di bawahnya.

Bagaimanapun modus operandi tersebut terbongkar hasil aduan awam dan risikan selama tiga hari yang dilakukan oleh Jabatan Imigresen Johor.

Menurut sumber,  seorang lelaki yang juga majikan mengaku tidak tahu keberadaan pekerja asing yang didaftarkan di bawah syarikat itu kerana ia permit bebas bekerja di mana-mana tempat.

Katanya, berdasarkan soal siasat terhadap empat pekerja asing yang turut ditahan dalam premis sama, mendapati mereka berkerja di Johor Bahru dan daerah lain seperti Muar dan Batu Pahat.

“Ada kemungkinan pekerja asing berdaftar dengan syarikat itu turut bekerja di luar Johor.

“Majikan tersebut ditahan di bawah Seksyen 56 (1) (d) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 12 (1) (F) Akta Passport 1966, manakala empat pekerja asing yang terdiri daripada tiga warga Indonesia dam seorang warga Bangladesh ditahan bawah Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959,” ujarnya.- MalaysiaGazette

Caption gambar: Pihak imigresen merampas barang-barang selepas melakukan serbuan di sebuah rumah teres jadi pejabat perbaharu permit kerja asing di Johor Jaya, Johor Bahru hari ini

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast