Lee Zii Jia

KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia menamat polemik berhubung hak imej apabila bersetuju membantu Malaysia dalam kempen Piala Thomas 2026 tanpa meletakkan sebarang tuntutan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Zii Jia, 27, memilih untuk mengenepikan perkara berkenaan dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada perjuangan pasukan demi misi menamatkan penantian 34 tahun negara untuk menjulang trofi Piala Thomas.

Perkembangan itu diumumkan menerusi kenyataan Team LZJ  yang mengesahkan persetujuan dicapai antara pemain berusia 27 tahun itu dan BAM untuk menyertai skuad kebangsaan ke pusingan akhir di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei depan.

“Lee Zii Jia sudah mencapai persetujuan dengan BAM untuk menjadi sebahagian daripada skuad Malaysia ke Piala Thomas 2026.

“Zii Jia juga bersetuju untuk mengetepikan bayaran hak imej bagi mewakili negara pada kejohanan akan datang sebagai tanda komitmen dan dedikasinya kepada Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Beliau menyifatkan kepercayaan itu sebagai satu penghormatan besar dan berharap kerjasama berkenaan membuka lembaran baharu hubungan antara dirinya dan badan induk itu.

“Kami berharap ini menjadi titik permulaan baharu buat Zii Jia dan BAM untuk bergerak bersama demi kepentingan badminton Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Kali terakhir Malaysia menjulang Piala Thomas pada 1992 dan kehadiran semula Zii Jia dijangka memperkukuh cabaran skuad negara yang mahu kembali berada di puncak dunia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast