Ahli Dewan Negara, Dr. RA Lingeshwaran

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) digesa segera menyemak semula Bayaran Insentif Pos Basik (BIPB) yang kini hanya dibayar RM100 sejak diperkenalkan hampir 20 tahun lalu.

Ahli Dewan Negara, Dr. R. A. Lingeshwaran berkata, adalah tidak masuk akal jika kepakaran tambahan jururawat hanya dihargai dengan elaun yang kecil sedangkan beban kerja kumpulan itu berlipat kali ganda.

Menurutnya, elaun RM100 bagi BIPB juga dinilai sudah tidak relevan ketika kerajaan memperkenalkan program Diploma Lanjutan Jururawat dan skim AMOTECH.

Apatah lagi, ujarnya, hospital swasta difahamkan sudah membayar RM500 tambahan sebulan untuk semua petugas kesihatan yang mempunyai kelayakan posbasik.

“Sudah tiba masanya KKM mengkaji semula kadar bayaran insentif yang telah diperkenalkan semenjak tahun 80-an dan tidak pernah dikaji semula sehingga hari ini.

“Kerajaan Madani-lah harapan kita untuk memperbetulkan keadaan ini. Mohon Menteri Kesihatan memberi jaminan bahawa insentif ini akan dikaji dengan segera,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sebelum ini, beberapa pihak turut mendesak kadar BIPB sebanyak RM100 sebulan kepada lebih 38,000 jururawat yang memiliki kelayakan pos basik dinaikkan supaya berbaloi dengan bebanan tugasan selain mengelak lebih ramai dalam kalangan mereka berhenti kerja.

Kadar bayaran insentif itu yang tidak pernah dinaikkan sejak 19 tahun lalu adalah bayaran kepada anggota paramedik Kementerian Kesihatan (KKM) yang memiliki sijil pos basik dan diploma lanjutan kejururawatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast