KUALA LUMPUR – Semua pihak diseru segera menghentikan penyebaran kandungan berunsur kebencian dan tidak bertanggungjawab di mana-mana platform media sosial.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kepelbagaian agama di negara ini adalah aset yang wajib dipelihara, bukan dieksploitasi untuk kepentingan tertentu.
Tegas beliau, kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu yang melibatkan sensitiviti agama dan kaum.
“Soal agama tidak seharusnya dipermainkan atau dijadikan bahan provokasi kerana perbuatan sedemikian adalah satu kesalahan dan boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat majmuk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai kejadian seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang disyaki menghina Islam di media sosial seperti yang tular hari ini.
Sambil memandang serius kejadian itu, Aaron berkata, beliau telah dimaklumkan siasatan sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pelajar yang didapati bersalah atas apa-apa kesalahan tatatertib di bawah Kaedah-Kaedah Universiti dan Kolej Universiti UMPSA (Tatatertib Pelajar) 2024.
Pada masa sama, ujarnya, polis melalui Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang turut menjalankan siasatan terhadap individu terlibat mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa.
“Kementerian Perpaduan Negara akan terus komited memastikan keharmonian antara kaum dan agama sentiasa terpelihara.
“Saya menyeru rakyat Malaysia agar bertindak secara matang, berhemah dalam bermedia sosial dan sentiasa menjunjung nilai hormat serta toleransi demi keamanan negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















