Tian Soon hadir ke Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Kesihatan Nasionaldi Kuala Lumpur bagi membincangkan usaha mempertingkatkan tahap kesihatan rakyat.

JOHOR BAHRU – Johor merekodkan penurunan kes demam denggi kepada 6,161 kes tahun lalu berbanding 13,190 kes pada 2024 dengan pengurangan sebanyak 53.3 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, perkembangan positif itu berlaku apabila trend penurunan tersebut berterusan iaitu hanya 694 kes direkodkan bagi tempoh enam minggu pertama tahun ini.

“Ini berhanding 813 kes bagi tempoh sama tahun lalu, iaitu pengurangan sebanyak 14.6 peratus. Pencapaian ini mencerminkan keberkesanan pendekatan bersepadu yang dilaksanakan oleh agensi kesihatan bersama-sama pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Ini termasuk sokongan yang diterima daripada anggota masyarakat dalam memastikan persekitaran lebih bersih, selamat dan sihat,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu katanya, aktiviti pemusnahan tempat pembiakan nyamuk Aedes terus dilaksanakan oleh anggota kesihatan di dalam dan luar rumah bagi menghapuskan kawasan berisiko pembiakan nyamuk yang menjadi punca penyakit demam denggi.

Katanya, bagaimanapun penemuan tempat pembiakan di kawasan dalam kediaman masih menunjukkan tahap kesedaran masyarakat yang perlu dipertingkatkan, khususnya dalam aspek pembersihan dan pengurusan bekas takungan air.

Tian Soon berkata, setakat ini, sebanyak 888 kompaun bernilai RM444,000 telah dikeluarkan menerusi aktiviti penguatkuasaan, dengan 63 peratus daripadanya telah dijelaskan.

Justeru, beliau menggesa komitmen berterusan semua pihak bagi memastikan persekitaran di negeri ini menjadi yang lebih bersih, selamat dan menjadikan rakyat lebih sihat.

Terdahulu, beliau mewakili Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hadir ke Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Kesihatan Nasional di Kuala Lumpur bagi membincangkan usaha mempertingkatkan tahap kesihatan rakyat serta memperkukuh langkah pencegahan penyakit berjangkit di negara ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast