Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan bergambar kenangan bersama penerima-penerima keputusan cemerlang UPKK 2025 pada Majlis Pengumuman Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al Quran dan Fardhu Ain (UPKK) 2025 di Sekolah Integrasi Rendah Agama Jawi Saidina Uthman bin Affan, Cheras, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 25 FEBRUARI 2026

KUALA LUMPUR – Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) bagi tahun 2025 mencatatkan pencapaian cemerlang dengan peningkatan Gred Purata Kebangsaan (GPK) kepada 1.83 berbanding 1.85 pada tahun sebelumnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, keputusan tersebut membuktikan keberkesanan program Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang kini memasuki usia 36 tahun sebagai pemangkin pendidikan Islam peringkat rendah.

“Alhamdulillah, tahun 2025 menyaksikan peningkatan GPK yang sangat cemerlang.

“Apa yang lebih membahagiakan adalah peningkatan jumlah calon yang hadir menduduki peperiksaan menunjukkan permintaan masyarakat terhadap pendidikan Fardu Ain semakin tinggi,” katanya.

“Pencapaian tahun ini menunjukkan peningkatan yang sangat baik. Daripada jumlah keseluruhan calon yang hadir, peratusan calon yang mencapai tahap lulus adalah sebanyak 89.61 peratus,” katanya ketika mengumumkan keputusan tersebut di SIRAJ Saidina Uthman bin Affan, hari ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Bidin serta wakil-wakil daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Dr Zulkifli Hassan berucap pada Majlis Pengumuman Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al Quran dan Fardhu Ain (UPKK) 2025 di Sekolah Integrasi Rendah Agama Jawi Saidina Uthman bin Affan, Cheras, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 25 FEBRUARI 2026

Tahun lalu menyaksikan seramai 252,997 calon mendaftar menduduki UPKK dan daripada jumlah itu, 24,761 orang mendapat 9A manakala 25,230 lagi memperoleh 8A dan 7A pula 18,990.

Dalam pada itu, Dr Zulkifli turut memberikan penghargaan khas kepada 163 calon Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) yang menduduki peperiksaan, termasuk calon masalah penglihatan yang menggunakan kaedah braille.

“Kekurangan bukan halangan, Kerajaan Madani sentiasa komited memastikan pendidikan Islam dinikmati secara inklusif termasuk menyediakan masa tambahan dan kertas soalan cetakan besar bagi calon yang memerlukan.

“Saya berharap generasi pewaris ummah ini terus mempersiapkan diri dengan sahsiah unggul selaras dengan peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026 -2035 untuk mendepani cabaran global masa hadapan,” katanya.

Dr Zulkifli Hassan menyampaikan slip keputusan kepada murid-murid kelainan upaya cemerlang pada Majlis Pengumuman Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al Quran dan Fardhu Ain (UPKK) 2025 di Sekolah Integrasi Rendah Agama Jawi Saidina Uthman bin Affan, Cheras, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 25 FEBRUARI 2026

Sementara itu, ketika ditanya mengenai calon yang tidak hadir peperiksaan, Dr Zulkifli memaklumkan kadar kehadiran peperiksaan bagi tahun 2025 adalah sangat tinggi iaitu sebanyak 99.37 peratus.

“Hanya 0.63 peratus sahaja calon yang tidak hadir, kebanyakannya atas faktor kesihatan.

“Ini adalah pencapaian yang luar biasa dan saya ucapkan tahniah kepada JAKIM serta guru-guru KAFA di seluruh negara atas komitmen mereka,” katanya.

Tambah beliau, penguasaan ilmu Al-Quran dan Fardu Ain adalah asas penting dalam membentuk generasi masa depan yang berakhlak mulia.

“Ini adalah pelaburan untuk generasi akan datang. Apabila anak-anak kita dipersiapkan dengan asas agama yang kukuh, mereka bukan sahaja menjadi anak yang soleh, malah menjadi warga yang menyumbang kepada negara dan ummah,” katanya lagi.  -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast