Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malayusia memerlukan satu dana Deep-Tech Nasional yang khusus dan berfokus kepada teknologi strategik seperti aeroangkasa, industri kecerdasan buatan (AI),  robotik dan automasi.

Ahli Dewan Negara, Datuk C. Sivaraj berkata, dana itu mesti cukup besar untuk membawa inovasi daripada peringkat idea dan prototaip sehingga ke peringkat pengkomersialan memandangkan inovasi akan mati di atas kertas tanpa pembiayaan yang berani.

Menurut beliau, kemudahan teknikal milik kerajaan, makmal, pusat ujian dan infrastruktur penyelidikan perlu dibuka secara terancang kepada startup tempatan yang berpotensi.

Selain itu, universiti dan institusi TVET pula mesti dihubungkan secara langsung dengan industri supaya pelajar bukan sekadar mempelajari teori tetapi terlibat dalam projek sebenar.

Datuk C. Sivaraj

Dalam masa sama, tambahnya, sektor swasta perlu digalakkan melalui insentif yang konsisten, dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu melihat pelaburan dalam startup teknologi tempatan sebagai pelaburan strategik negara, bukan sekadar pulangan jangka pendek.

“Kita sering bercakap tentang keluar daripada perangkap pendapatan sederhana tetapi kita tidak boleh keluar dengan melakukan perkara yang sama berulang kali.

“Malaysia mesti membuat pilihan, sama ada kita mahu terus menjadi pengguna teknologi atau bersedia menjadi pencipta teknologi dan keputusan itu perlu dibuat sekarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, masa depan ekonomi Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada model lama yang menjadikan negara sekadar pengguna dan pembekal komponen kepada teknologi negara lain.

Menurutnya, dunia sedang bergerak ke arah penguasaan teknologi strategik dengan negara yang menguasai aeroangkasa, kecerdasan buatan, robotik dan automasi akan menentukan rantaian nilai global.

Beliau memberikan contoh India yang mana selepas meliberalisasikan sektor angkasa pada tahun 2020 dan membuka ruang kepada penyertaan swasta melalui reformasi dasar serta penubuhan badan seperti IN-SPACe, ekosistem space-tech negara itu berkembang dengan pesat.

Hari ini India melahirkan lebih 300 startup teknologi angkasa setiap tahun dengan industri angkasa negara itu kini dianggarkan bernilai antara AS$8 hingga AS$10 bilion dan disasarkan meningkat kepada sekitar AS$40 bilion menjelang 2040.

“Malaysia mempunyai asas, kita mempunyai Agensi Angkasa Malaysia, tenaga jurutera aeroangkasa, universiti dan institusi TVET serta pengalaman membekalkan komponen kepada syarikat global seperti Airbus dan Boeing.

“Namun, kita belum menyusun semua ini sebagai satu ekosistem deep-tech yang agresif dan terselaras. Jika kita benar-benar mahu berubah, pendekatan kita juga mesti berubah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast