Jefri Safry

MELAKA – Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Melaka menyifatkan pelantikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka bertujuan memperkukuh serta menyusun semula organisasi negeri agar kembali stabil dan berkesan.

Ketuanya, Jefri Safry, berkata, pelantikan naib presiden parti itu adalah amalan biasa dalam mana-mana parti politik apabila berdepan keperluan pengukuhan struktur dan penstabilan organisasi.

“Ia soal disiplin dan tanggungjawab kepimpinan, bukan polemik seperti yang cuba digambarkan sesetengah pihak. Malah penyusunan semula di peringkat bahagian akan memberi keutamaan kepada pejuang parti yang benar-benar komited.

“Ini khususnya kepada generasi muda berpotensi serta kepimpinan tempatan yang mahu bersama memperkukuh parti dan bergerak seiring dengan Perikatan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Bersatu mahu mahu membina pasukan yang setia kepada perjuangan, bekerja dengan tertib dan bersedia menghadapi cabaran politik mendatang.

“Bersatu Melaka akan terus bergerak ke hadapan dengan lebih fokus, lebih tersusun dan lebih kuat,” katanya.

Beliau dalam masa sama merakamkan penghargaan kepada kepimpinan terdahulu atas sumbangan mereka namun menegaskan, hala tuju parti akan terus diuruskan oleh kepimpinan serta ahli yang kekal bersama perjuangan.

Terdahulu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan pelantikan Mohd Radzi sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka berkuat kuasa serta-merta.

Menurutnya, pelantikan naib presiden yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden Bersatu itu dibuat dengan mengambil kira pengalaman dan kepimpinan beliau yang mampu membina kekuatan dalam kalangan pemimpin baharu serta komited kepada idealisme perjuangan parti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast