KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) menjangkakan Fasa 1A projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah siap pada suku pertama 2027, manakala Fasa 1B dijadualkan siap pada suku keempat 2028, membabitkan keseluruhan jajaran sepanjang 706 kilometer (km).
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, setakat Januari lalu, Fasa 1A melibatkan 15 pakej kerja sejauh 318km dan berada pada landasan untuk disiapkan tahun depan.
“Fasa 1B pula meliputi 19 pakej sejauh 388km dan dijangka siap pada suku keempat 2028.
“Kita harap Fasa 1A siap suku pertama tahun depan. Fasa 1B tidak boleh kita arahkan siap lebih awal kerana ia baru dimulakan tahun lalu dan dijangka siap suku keempat 2028,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tuaran) pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, mengulas soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) berhubung isu penyelenggaraan jalan yang didakwa tidak dilaksanakan dengan baik oleh kontraktor terlibat, Ahmad memberi amaran tegas kepada syarikat berkenaan.
Menurutnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah berhak menukar kontraktor sekiranya didapati gagal melaksanakan tanggungjawab penyelenggaraan dengan memuaskan.
“Saya telah menjelajah hampir seluruh Sabah dan melalui jalan-jalan berkaitan serta membuat pemantauan dan teguran terhadap laluan yang tidak diselenggara dengan baik.
“Saya juga memberi amaran, sekiranya kerja penyelenggaraan tidak dilaksanakan dengan sempurna, JKR Sabah berhak melantik kontraktor lain,” katanya. – MalaysiaGazette
















