David Cheong Kian Young

KUALA LUMPUR – Tindakan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli menzahirkan kritikan secara terbuka di media tanpa melalui mekanisme dalaman parti, boleh menimbulkan persepsi negatif dan menjejaskan kesatuan parti serta keyakinan rakyat.

Timbalan Pengerusi Biro Perpaduan Nasional PKR Selangor, David Cheong Kian Young berkata, setiap perbezaan pandangan wajar diurus dengan tertib dan menerusi saluran yang betul, bukannya berdasarkan kepentingan peribadi.

Katanya, semua pihak memahami bahawa teguran yang jujur dalam parti bukan tanda derhaka, tetapi bukti kecintaan terhadap idealisme perjuangan.

Namun, ujar beliau, teguran juga perlu disalurkan melalui mekanisme dalaman yang beradab dan berdisiplin.

“Sungguhpun terdapat percanggahan idealisme, kesetiaan kepada parti tetap diutamakan.

“Pemimpin datang dan pergi, tetapi institusi dan parti mesti kekal kukuh.

“Segala usaha dan keputusan kepimpinan mesti memastikan bahawa matlamat serta harapan rakyat tercapai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

David yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang berkata, perbezaan yang dizahirkan secara terbuka tanpa melalui proses musyawarah dalaman yang sewajarnya boleh menimbulkan persepsi bahawa ego mengatasi rasional.

Sedangkan, ujarnya, politik matang menuntut disiplin organisasi, keupayaan menerima keputusan kolektif serta kebijaksanaan membezakan antara kepentingan peribadi dan kepentingan bersama.

Tambah beliau, dalam konteks politik semasa yang memerlukan kestabilan pasaran, keyakinan pelabur dan keutuhan kerajaan perpaduan, sebarang kenyataan yang boleh ditafsir sebagai percanggahan terbuka dalam kepimpinan hanya akan memberi ruang kepada pihak yang ingin melihat kerajaan gagal.

Tegasnya, rakyat tidak berminat dengan persaingan dalaman sebaliknya rakyat mahu penyelesaian terhadap kos sara hidup, peluang pekerjaan dan tadbir urus yang bersih.

“Langkah ke hadapan adalah jelas. Jika terdapat perbezaan pandangan dasar atau strategi, bawalah ia ke meja rundingan parti dan Kabinet.

“Bentangkan hujah secara menyeluruh, sertakan data dan cadangan alternatif yang konstruktif.

“Hormati keputusan bersama walaupun tidak semua kehendak peribadi dipenuhi. Inilah yang membezakan kepimpinan beretika daripada retorik bermusim,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menyeru seluruh pimpinan dan anggota PKR kembali kepada asas perjuangan iaitu integriti, keadilan dan khidmat kepada rakyat.

“Jangan biarkan ego mengatasi rasional sehingga menjejaskan amanah yang telah diberikan oleh rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast