Mohamed Sukri Omar.

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Selangor tidak teragak-agak untuk menggerakkan bantahan awam secara besar-besaran mengikut Akta Perhimpunan Awam, jika tiada tindakan tegas dikenakan terhadap pelaku yang memuat naik hantaran gambar memijak al-Quran di laman Thread, baru-baru ini.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, selain hukuman berat penuntut universiti berkenaan perlu ditamatkan pengajian serta-merta.

Dalam masa yang sama, beliau menggesa supaya individu tersebut tidak dibenarkan memasuki mana-mana universiti awam.

“Hukuman kerja kemasyarakatan berat dan berpanjangan di bawah pemantauan rasmi, termasuk khidmat wajib di institusi kebajikan serta program pemulihan sahsiah yang ketat,” katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, ketegasan negara dalam isu ini akan menjadi garis pemisah yang jelas bahawa kesucian al Quran tidak boleh dipijak dan agama tidak boleh dijadikan bahan provokasi.

Sementara itu, beliau menggesa kerajaan menggubal undang-undang yang lebih tegas khusus terhadap penghinaan agama Islam.

Sebaliknya, katanya, Kerajaan Persekutuan mesti mempertimbangkan penggubalan rang undang undang yang lebih tegas dan khusus terhadap penghinaan agama Islam, selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Jelas beliau, undang undang tersebut perlu memperincikan bentuk kesalahan, memperkemas takrif penghinaan serta memperuntukkan hukuman yang lebih berat dan jelas sebagai pencegahan.

“Saya menyeru semua Ahli Parlimen Islam tanpa mengira parti agar bersatu menyokong sebarang usaha memperkukuh perlindungan undang-undang terhadap kesucian Islam. Dalam isu maruah agama, tidak sepatutnya ada politik kepartian. Ini soal prinsip, soal aqidah dan soal ketenteraman negara,” katanya lagi.

Seorang penuntut institusi pengajian tinggi awam  yang menggunakan nama “Vikneswaran0102′ di laman Thread ditahan polis selepas memuat naik hantaran gambarnya memijak al-Quran, kelmarin.

Tindakan biadabnya itu mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman semalam berkata, penuntut itu telah direman selama empat hari sehingga 28 Februari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana menghina agama lain dan sabit kesalahan boleh dipenjara hingga dua tahun dan denda.

Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian untuk menghantar komunikasi bersifat menyakitkan hati, menganiaya, mengugut, atau mengganggu orang lain termasuk kandungan jelik.

Sabit kesalahan boleh dipenjara hingga setahun dan denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Segala gala nya di Malaysia ini diterajui oleh orang melayu..peratusan menteri, ahli parlimen, ketua jabatan dan kakitangan majoriti adalah muslim melayu..hinggakan askar,olis, kastam, imigresen malah keseluruhan adalah MELAYU ISLAM..Tetapi ???????

Comments are closed.