GAMBAR tular di media sosial kononnya Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI) lengang dengan para jemaah.

KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini menafikan dakwaan yang tular di dalam media sosial kononnya masjid itu diboikot orang ramai.

Pengerusinya, Datuk Mohd Fadzli Yusof berkata, seperti tahun lalu, kira-kira 800 hingga 1,000 jemaah sehari hadir berbuka puasa di masjid itu dengan kebanyakan mula hadir kira-kira pukul 7 petang.

Katanya, pihak masjid menyantuni semua jemaah yang hadir tanpa syarat, dan ada ketikanya menempah makanan tambahan bagi menampung jemaah yang hadir terlalu ramai dan di luar jangkaan.

Selain itu, jelasnya, pihak masjid juga memperuntukkan makanan berbuka puasa untuk diagihkan kepada orang awam di Stesen MRT TTDI serta mengambil inisiatif menyantuni ahli kariah yang uzur dengan menghantar makanan ke rumah mereka.

“Pihak masjid telah memperuntukkan dana sebanyak RM450,000 bagi program berbuka puasa, moreh dan sahur sepanjang Ramadan bagi tahun ini.

“Pihak masjid sentiasa cakna untuk menerapkan adab-adab kepada para jemaah ketika berada di masjid,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai dakwaan yang tular di dalam media sosial kononnya Masjid At-Taqwa TTDI diboikot orang ramai susulan gambar suasana yang lengang tanpa kehadiran jemaah sepenuhnya bagi berbuka puasa.

Sementara itu, beliau menambah, pihak masjid mengambil berat mengenai kehadiran belia dan anak-anak ke masjid sebagai generasi pelapis yang mengimarahkan masjid.

Sehubungan itu, tambahnya, pihak masjid telah merancang pelbagai inisiatif untuk menyantuni golongan belia dan kanak-kanak.

Antaranya, kata beliau, dengan mengadakan kelas mengaji al-Quran mingguan untuk remaja dan kanak-kanak; hari kanak-kanak peringkat masjid; program Khatan Perdana dan program Kids Zone sepanjang Ramadan dan program Semarak Cinta Al-Quran: Cilik Cinta Al-Quran.

“Selain itu, pihak masjid juga menyediakan program riadah seperti pertandingan Karom peringkat masjid, pertandingan e-sport dan sebagainya,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast