Tun Faisal Ismail Aziz.

 

KUALA LUMPUR – Urusan pemakluman berkenaan status ahli-ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipecat kepada Dewan Rakyat bukan sesuatu yang merumitkan, malah boleh dilakukan hanya dalam masa sehari.

Menurut Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, apa yang perlu dilakukan adalah dengan menghantar surat kepada Speaker bagi memaklumkan status keahlian enam ahli parlimen Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) yang telah dipecat.

Ujarnya, selepas proses itu dilakukan, Majlis Tertinggi (MT) PN boleh memanggil mesyuarat bagi memilih dan menamakan Ketua Pembangkang yang baharu.

Jelas beliau, perkara itu boleh dilakukan kemudian iaitu selepas Dewan Rakyat tamat bersidang dan tiada kaitan dengan tempoh berapa hari lagi Dewan Rakyat perlu bersidang.

“Penggantian Ketua Pembangkang boleh dilaksanakan kemudian selepas MT PN memutuskan siapa Ketua Pembangkang yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan kedudukan Datuk Seri Hamzah Zainudin selaku Ketua Pembangkang masih kekal.

Menurutnya, PN juga tidak membuat sebarang notifikasi kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berhubung kedudukan Hamzah tersebut.

Sebelum ini, desakan dibuat oleh pemimpin Bersatu supaya PN menggantikan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang selepas bekas Timbalan Presiden Bersatu berkenaan dipecat daripada parti itu pada 12 Februari lalu.

Sementara itu, Tun Faisal Ismail berkata, perlu difahami tugas untuk memberikan pemakluman mengenai status terkini keahlian ahli Parlimen yang dipecat kepada Speaker Dewan Rakyat adalah tugas PN.

Katanya, tugas untuk menamakan Ketua Pembangkang yang baharu pula adalah tugas MT PN dan perlu diputuskan dalam Mesyuarat MT PN.

“Tugas ini lebih mudah lagi jika dasar dan keputusan berkaitan perkara itu telah dibincangkan dan dipersetujui dalam Mesyuarat Luar Biasa MT PN pada 22 Februari lalu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast