Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media di Menara Komunikasi, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 27 FEBRUARI 2026

PUTRAJAYA – Laporan Jawatankuasa Khas Siasatan berkaitan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dijangka siap minggu depan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri akan meneliti hasil laporan berkenaan sebelum membuat keputusan sama ada perlu menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau sebaliknya.

“Jemaah Menteri telah bersetuju bahawa isu-isu ini amat serius dan mengambil maklum cadangan penubuhan RCI,” katanya ketika sidang media mingguan Pasca Mesyuarat Kabinet, hari ini.

Dalam masa yang sama katanya lagi, Polis Diraja Malaysia sedang menjalankan siasatan mengenai dakwaan salah guna kuasa SPRM bagi tujuan manfaat korporat.

“Siasatan pada kadar segera untuk mengenal pasti mana-mana pihak yang telah melanggar undang-undang untuk dihadapkan ke muka pengadilan,” tambahnya.

Fahmi berkata isu pemilikan saham Azam  Velocity Capital Partner Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia seperti yang dilaporkan Bloomberg dan dakwaan penyalahgunaan SPRM dibincangkan secara mendalam pada mesyuarat Jemaah, hari ini.

Kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Siasatan berkaitan isu pemilikan saham oleh Azam yang dipengerusikan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata,  kerajaan akan mengeluarkan kenyataan mengenai isu tersebut dalam masa yang terdekat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast