JASIN – Ahli-ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Jasin diseru terus bertenang dan tidak mudah goyah dalam mendepani sebarang krisis yang melanda parti.
Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham berkata, setiap krisis yang berlaku bukan sekadar ujian, sebaliknya turut membuka ruang dan peluang untuk memperkukuh semula saf perjuangan parti.
Menurut beliau, pendekatan matang dan berhemah amat penting bagi memastikan kekuatan organisasi di peringkat bahagian terus terpelihara.
“Setiap krisis pasti hadir bersama peluang dan ruang untuk kita memperkukuh perjuangan.
“Justeru, saya menyeru seluruh ahli Bersatu Jasin agar sentiasa tenang dan fokus kepada matlamat perjuangan parti,” katanya dalam pertemuan bersama ahli Bersatu Jasin di Taman Maju di sini, malam tadi.
Hadir sama, Ketua Armada Bersatu Melaka, Jefri Safry.
Muhammad Hilman turut menzahirkan keyakinan terhadap komitmen yang ditunjukkan oleh ahli-ahli bahagian berkenaan yang disifatkan sebagai bukti semangat perjuangan tidak pernah luntur.
“Kehadiran dan komitmen ahli Bersatu Jasin hari ini jelas membuktikan bahawa semangat perjuangan kita tidak pernah pudar.
“Insya-Allah, kita akan bangkit dengan lebih kuat, tersusun dan lebih bersedia bagi menghadapi cabaran mendatang,” ujarnya.
Sementara itu, Jefri berkata, Bersatu Bahagian Jasin menerima nafas baharu apabila lima cawangan penaja ditubuhkan yang menghimpunkan kira-kira 130 ahli termasuk ketua cawangan.
Lima cawangan berkenaan ialah Tedung, Gapam, Lubuk Kasar, Parit Sidang Seman dan Jasin Bestari.
“Langkah ini membuktikan komitmen akar umbi untuk memperkukuh organisasi bersama kepimpinan sedia ada dan menambah keanggotaan baharu menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka.
“Ahli Jawatankuasa Bahagian akan dibentuk dalam masa terdekat manakala pelantikan Ketua Bahagian dibuat oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya. – MalaysiaGazette
















