KUALA LUMPUR – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada Bersatu) memandang serius siasatan polis berhubung dakwaan konspirasi menjatuhkan kerajaan, berkaitan lantikan firma perhubungan awam oleh Toh Puan Na’imah.
Exconya, Na’im Brundage berkata, penggunaan Seksyen 124B Kanun Keseksaan bagi kes ini adalah melampau dan keterlaluan, memandangkan sehingga kini tiada bukti kukuh yang menunjukkan tindakan beliau telah membahayakan sistem demokrasi berparlimen negara.
Katanya, undang-undang seperti ini sepatutnya hanya digunakan untuk menangani ancaman sebenar terhadap keselamatan negara, dan bukannya untuk menekan mana-mana pihak yang mempunyai perbezaan pandangan politik dengan kerajaan.
Armada Bersatu menegaskan, proses semak dan imbang adalah hak asas dalam sistem demokrasi dan tidak boleh sama
sekali disamakan dengan pengkhianatan terhadap negara.
“Kami juga berpendapat, tindakan keterlaluan kerajaan ini berisiko menimbulkan persepsi bahawa siasatan ini merupakan satu cubaan untuk mengalihkan perhatian daripada pendedahan Bloomberg mengenai rangkaian mafia korporat dan isu pemilikan saham oleh kepimpinan penguatkuasa yang sehingga kini masih belum terjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Armada Bersatu menyeru pihak berkuasa bertindak adil dan bertanggungjawab dalam siasatan ini, serta menumpukan perhatian kepada isu yang sebenar demi kebaikan dan kestabilan negara. – MalaysiaGazette
















