Dr. Haim Hilman Abdulah.

KUALA LUMPUR – Pelantikan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dilihat sebagai langkah menyusun semula haluan gabungan itu menjelang fasa politik yang lebih mencabar.

Exco Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, perubahan kepimpinan itu bukan sekadar rombakan struktur, sebaliknya mencerminkan pendekatan lebih strategik dan berfokus, dengan penekanan kepada kestabilan serta kejelasan hala tuju.

Jelasnya, Pas yang dilihat sebagai rakan dalam gabungan, kini memikul tanggungjawab lebih besar dalam memandu PN.

“Ini bukan soal dominasi, tetapi soal tanggungjawab untuk memimpin dengan hikmah dan kebijaksanaan demi kestabilan negara.

“Penghargaan wajar diberikan kepada kepimpinan parti-parti dalam PN yang berjiwa besar dan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan peribadi.

“Sikap saling percaya ini merupakan asas kepada sebuah gabungan yang kukuh dan mampu menawarkan alternatif yang meyakinkan kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, gabungan itu menjanjikan model ekonomi yang lebih seimbang dan menyeluruh, dengan pembangunan dirasai semua lapisan masyarakat serta penekanan terhadap mobiliti sosial.

Sistem pendidikan mahu diperkasa melalui pendekatan gabungan identiti nasional dan amalan terbaik antarabangsa, di samping memperluas akses kepada golongan B40 bagi memutuskan rantaian kemiskinan.

“PN beriltizam membangunkan model perkhidmatan kesihatan negara yang lebih menyeluruh dan berperikemanusiaan.

“Dari segi keterjaminan makanan, Malaysia tidak boleh selamanya bergantung kepada import makanan sedangkan tanahnya subur.

“PN akan mereformasi sektor pertanian dengan pendekatan teknologi, pengurusan moden dan rantaian bekalan yang cekap,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan, kepimpinan baharu PN mahu membawa pendekatan ‘politik penyelesaian’ yang menumpukan solusi berbanding polemik, dengan sasaran membentuk pentadbiran yang adil, inklusif dan berdaya saing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast