KUALA LUMPUR – Batik Air memaklumkan syarikat penerbangan itu sedang memantau secara dekat perkembangan terkini di Asia Barat susulan keadaan yang semakin meruncing di rantau berkenaan.
Dalam satu kenyataan, Batik Air menegaskan keselamatan dan kesejahteraan penumpang serta kru kekal sebagai keutamaan tertinggi syarikat.
“Batik Air sedang meneliti perkembangan semasa dan menilai sebarang potensi impak terhadap ruang udara serantau serta operasi penerbangan kami,” menurut kenyataan itu.
Kata Batik Air, pihaknya turut bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan, pengawal selia penerbangan awam dan pemegang taruh berkaitan bagi memastikan setiap keputusan operasi mematuhi piawaian keselamatan tertinggi.
Jelasnya, penerbangan yang dijadualkan ke destinasi di rantau berkenaan berkemungkinan mengalami perubahan termasuk pembatalan, bergantung kepada perkembangan situasi.
“Penumpang akan dimaklumkan segera sekiranya terdapat sebarang perubahan. Maklumat terkini juga akan dikemas kini di laman web rasmi Batik Air,” ujarnya.
Sehubungan itu, penumpang dinasihatkan supaya menyemak status penerbangan masing-masing secara berkala serta memperuntukkan masa tambahan untuk perjalanan ke lapangan terbang.
Batik Air memaklumkan pihaknya akan terus memantau situasi semasa dan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.
Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui laman web rasmi syarikat di www.batikair.com.my. -MalaysiaGazette
















