KUALA LUMPUR – Bersempena kedatangan Ramadan tahun ini, Hotel Tenera & Suites tampil dengan pendekatan berbeza apabila melaksanakan konsep Environmental, Social and Governance (ESG) dalam penganjuran bufet Ramadan sekali gus menegaskan komitmen terhadap kelestarian alam sekitar dan tanggungjawab sosial.
Membawa konsep makanan Serantau Desa dari Malaysia, Thailand dan Indonesia, hotel itu mengangkat tema kelestarian serta mesej mengelak pembaziran di bulan Ramadan bagi menekankan prinsip sifar pembaziran sepanjang bulan mulia ini.
Inisiatif tersebut merangkumi kawalan penyediaan makanan secara berperingkat, pengurusan sisa makanan yang lebih sistematik, penggunaan bahan mesra alam serta galakan kepada para tetamu untuk mengambil makanan secara berhemah.
Menurut Pengurus Besar Hotel Tenera & Suites, Fadzly Hamzah, Ramadan bukan sekadar bulan menikmati juadah berbuka puasa tetapi juga bulan mendidik jiwa tentang kesederhanaan, rasa syukur dan tanggungjawab dalam mengelakkan pembaziran.
Justeru katanya, pelaksanaan ESG dilihat selari dengan nilai murni Ramadan yang menekankan keseimbangan dan keprihatinan terhadap alam sekitar.
“Antara kebaikannya adalah mengurangkan pembaziran makanan di mana kami membuat penyediaan makanan secara terkawal ia sebenarnya membantu mengurangkan lebihan makanan yang tidak habis, sekali gus mengelakkan pembaziran yang sering berlaku sepanjang Ramadan.
“Kaedah ini juga sebenarnya bukti pihak hotel amat menitikberatkan soal menjaga alam sekitar di mana engurangan sisa makanan dan penggunaan bahan mesra alam membantu mengurangkan pelepasan karbon serta bebanan tapak pelupusan sampah,” katanya pada pelancaran bufet Ramadan hotel itu baru-baru ini.
Pelaksanaan konsep ESG itu turut disokong selebriti popular seperti Datin Alyah, Baby Shima, Zaki Yamani, Adam AF dan ramai lagi.

Sementara itu, tahun ini, bufet Ramadan Hotel Tenera & Suites tampil dengan konsep Serantau Desa, Citarasa Mendunia yang mengetengahkan keunikan hidangan tradisional dari tiga negara serumpun iaitu Malaysia, Thailand dan Indonesia.
Konsep ini bukan sahaja meraikan kepelbagaian budaya Nusantara, malah membawa para tetamu menikmati hidangan yang kaya dengan rempah, aroma dan teknik masakan autentik dari rantau Asia Tenggara.
Antara hidangan istimewa yang menanti pengunjung bufet Ramadan adalah Dhalca Lutut Kambing, Gulai Kawah Raja Berangkat, Lidah Bakar, Sup Gear Box, Gulai Padang Urat Kering, Pecel Sayur dan sebagainya.
Tidak dilupakan menu istimewa Nasi Khao Mok Kambing Panggang, Pulut Mangga, Tom Tam Merah, Som Tam, Ayam Pop, Rendang Riau,
Menurut Ketua Cef Hotel Tenera, Chef Sahisal Azrul, gabungan menu seperti juadah kampung Malaysia yang penuh nostalgia dan sajian Thai yang terkenal dengan keseimbangan rasa pedas, masam dan manis.
Hidangan Indonesia pula kaya dengan rempah ratus, menjadikan bufet Ramadan kali ini lebih istimewa dan beridentiti. – MalaysiaGazette

















