Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Luar sedang memantau secara berterusan perkembangan persekitaran keselamatan yang tidak menentu di Timur Tengah, susulan ketegangan serantau yang memberi kesan terhadap pergerakan dan keselamatan orang awam.

Dalam satu kenyataan rasmi, kementerian itu menegaskan bahawa tindak balas konsular yang diselaraskan sedang dilaksanakan bagi memastikan kebajikan rakyat Malaysia terus terpelihara.

“Kementerian Luar Negeri sedang memantau secara berterusan perkembangan persekitaran keselamatan yang tidak menentu di Timur Tengah dan sedang melaksanakan tindak balas konsular yang diselaraskan.

“Keutamaan mutlak kami kekal terhadap keselamatan dan kebajikan warganegara Malaysia di negara-negara yang terjejas,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan tersebut, Wisma Putra turut menjelaskan Perwakilan-perwakilan Diplomatik Malaysia telah menghulurkan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara akibat pembatalan penerbangan, dengan semua individu yang dihubungi dilaporkan selamat.

Pada masa ini, perwakilan Malaysia sedang menghulurkan bantuan atau berhubung rapat dengan rakyat Malaysia yang terkandas di Arab Saudi, United Kingdom, Syria, Jordan, Qatar serta Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Memandangkan situasi semasa yang sangat tidak menentu termasuk gangguan penerbangan dan penutupan ruang udara secara tiba-tiba, kementerian menasihatkan semua pengembara Malaysia supaya berhubung terus dengan syarikat penerbangan masing-masing bagi mendapatkan jadual terkini dan sebarang pelarasan laluan.

Bilik Operasi Kementerian Luar Negeri di Putrajaya sedang giat menyelaraskan usaha-usaha konsular.

“Kementerian menggesa semua rakyat Malaysia agar kekal tenang, mengelakkan penyebaran khabar angin yang tidak ditentusahkan, dan hanya bergantung kepada sumber berita rasmi serta saluran rasmi Kementerian untuk mendapatkan maklumat yang tepat,” jata Wisma Putra lagi.

Orang ramai diminta hanya merujuk kepada sumber berita rasmi dan saluran rasmi kementerian bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih.

Kementerian turut menasihatkan semua rakyat Malaysia agar menangguhkan perjalanan yang tidak penting ke rantau tersebut dalam masa terdekat, mendaftar keberadaan melalui sistem E-Konsular, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan serta sentiasa mengikuti kemas kini rasmi perwakilan diplomatik Malaysia.

Bagi bantuan kecemasan, rakyat Malaysia di kawasan terjejas boleh menghubungi Bilik Operasi di talian +603-8887 4570 atau e-mel [email protected]. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast