Danish Hairudin
Danish Hairudin

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin membidas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh susulan polemik berhubung isu penghinaan agama yang tular.

Reaksi itu hadir selepas Dr Muhamad Akmal memuat naik kenyataan di Facebook berbunyi, ‘Lebih baik melalak mempertahankan agama daripada sembang berdegar tapi semua membohong’ selain menggunakan perkataan keras terhadap pengkritiknya.

Menjawab kenyataan tersebut, Danish menyifatkan tuduhan kononnya tiada tindakan diambil dalam isu tersebut sebagai tidak berasas.

“Bodoh itu percuma sama seperti kamu,” sindirnya.

Tegas Danish, pihak berkuasa telah pun bertindak terhadap individu terlibat.

“Tindakan telah pun diambil oleh pihak berkuasa terhadap pelaku. Ditangkap, direman dan dalam proses pendakwaan.

“Penghinaan terhadap agama sama ada Islam atau agama lain mesti ditangani dengan tegas berlandaskan undang-undang tanpa kompromi. Ini jelas,” ujarnya.

Danish turut mempersoalkan retorik yang dimainkan dalam isu tersebut yang menurutnya boleh mendorong kepada tindakan melampau.

Takkan nak berkeris? Berparang? Berkapak?” soalnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dakwaan kononnya tiada tindakan diambil tidak boleh dijadikan hujah untuk menutup perbahasan awam.

“Melalak ‘tiada tindakan’ tidak menjadikannya benar. Negara ini ditadbir oleh undang-undang, bukan emosi dan spekulasi di ruangan komen,” kata Perdana Menteri menerusi laman sosialnya.

Anwar menjelaskan, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa.

Menurutnya, dalam sebuah negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang, tindakan mesti berlandaskan proses perundangan, bukan tekanan emosi atau persepsi yang dibentuk di media sosial.

Kenyataan berbalas antara pemimpin kerajaan dan pembangkang itu sekali gus memperlihatkan ketegangan berterusan dalam isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kepercayaan rakyat. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast