KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy mempersoalkan tindakan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail yang segera bertindak ke atas satu laporan cubaan untuk menggulingkan kerajaan hanya berdasarkan laporan semata-mata.
Beliau berkata, Khalid tidak sepatutnya memberi maklum balas sedemikian rupa sebaliknya beliau perlu menyiasat kesahihan laporan dan dalang yang terlibat dalam cubaan menjatuhkan kerajaan secara tidak berperlembagaan itu.
“Kalau kita lihat kenyataan IGP sendiri, terdapat satu percubaan untuk mengguling kerajaan oleh seorang individu yang kononnya bersubahat dengan media antarabangsa, sama ada benar atau tidak, kita tak tahu.
“Dalam laporan polis tersebut, pembuat laporan percaya isteri arwah Tun Daim Zainuddin bersubahat untuk menjatuhkan kerajaan. Itu kepercayaan dia.
“Mana boleh seorang buat laporan polis, saya percaya sekian-sekian, sampai IGP yang keluar kenyataan, seolah-olah perkara itu diperbesarkan.
“Sebenarnya kenyataan IGP tidak perlu dibuat, polis cuma perlu siasat, itu sahaja,” katanya pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan maklumat itu juga diperoleh hasil laporan polis yang dibuat seorang individu di ibu negara pada 10.29 pagi pada 26 Februari lalu.
Berdasarkan laporan itu, pengadu mendakwa terdapat perbincangan dalam kalangan sekumpulan individu yang merancang menggunakan sekurang-kurangnya lima media antarabangsa bagi memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Laporan itu mendakwa tekanan tersebut dibuat khususnya berkaitan usaha menggugurkan dakwaan dalam siasatan melibatkan agensi tersebut.
Waytha juga menyifatkan laporan polis yang dibuat seorang individu tersebut sebagai tidak masuk akal dalam cubaan untuk menggulingkan kerajaan.
“Saya rasa rakyat pun tahu ini adalah satu percubaan untuk menggulingkan daripada masalah yang dihadapi oleh Perdana Menteri sendiri,” katanya.
Beliau turut berkata, keadaan sama dapat dilihat dalam pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mendapat tentang dan bantahan dalam rakyatnya sendiri.
“Kalau kita lihat, Presiden Trump mengalami banyak cabaran malah beliau menangkap orang-orang dikatakan pendatang haram dan sebagainya.
“Ia menyebabkan dua kematian hingga mencetuskan banyak lagi demonstrasi. Tiba-tiba kita lihat dua hari lalu, satu serangan ke atas Iran telah dibuat oleh Presiden AS,” katanya.
Katanya lagi, cubaan Anwar-Trump mengalih banyak isu tempatan tidak dapat disembunyikan lagi, daripada perjanjian tarif timbal balas mahu kelemahan pemerintahannya.
“Ini adalah percubaan untuk mengalihkan banyak isu-isu tempatan di Amerika. Contohnya fail Epstein yang mempersoalkan Trump sendiri sebagai terlibat dalam isu Epstein itu sendiri. Jadi ini semua biasa dilakukan oleh diktator.
“Biasanya diktator yang akan membuat perkara-perkara sebeginilah. Jadi kita nampak Trump buat, kita nampak Anwar pun buat. Itu sahajalah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















