SHAH ALAM – Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah memberi amaran keras kepada pemilik akaun media sosial supaya menurunkan segera infografik palsu yang tular, atau berdepan tindakan undang-undang dalam tempoh 24 jam.
Beliau menegaskan hantaran berkenaan yang memaparkan ucapan tahniah kepada seorang pemuda bukan Islam kononnya dilantik sebagai setiausaha kanan di pejabatnya adalah tidak benar dan telah disunting pihak tidak bertanggungjawab.
“Tempoh 24 jam diberikan. Jika ingkar, laporan polis dan saman akan difailkan terhadap akaun yang dikenal pasti. Ini satu fitnah berniat jahat,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di TikTok hari ini.
Fahmi berkata, Mahasiswa Keadilan Malaysia sendiri sudah tampil menafikan infografik berkenaan yang didakwa kononnya dikeluarkan oleh pertubuhan itu.
Menurutnya, setakat ini pejabatnya tidak pernah mempunyai pegawai bukan Islam dan tiada sebarang perancangan untuk membuat lantikan sedemikian.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak terjebak menyebarkan maklumat tidak sahih, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan.
Sambil memetik maksud Surah Al-Baqarah ayat 191 bahawa fitnah lebih besar bahayanya daripada membunuh, beliau menyeru masyarakat menggunakan Ramadan untuk memperbanyakkan amalan baik dan menghentikan penyebaran fitnah.
Terdahulu, media sosial digemparkan dengan penyebaran satu infografik yang memaparkan ucapan tahniah kepada seorang pemuda bukan Melayu kononnya dilantik sebagai Setiausaha Kanan kepada Fahmi di Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor. -MalaysiaGazette
















