KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri, majlis daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mematuhi Pelan Induk Tebatan Banjir (PITB) dalam setiap perancangan pembangunan bagi mengurangkan risiko banjir.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, apabila PITB telah diwujudkan, kerajaan negeri mesti memastikan sebarang pembangunan tidak bercanggah dengan pelan berkenaan khususnya di kawasan yang dikenal pasti tidak mampu menampung jumlah hujan tinggi.
“Sebab itu kita menyediakan pelan risiko banjir supaya bila perancangan itu dilaksanakan, janganlah juga bertumpukan kepada kawasan-kawasan yang tidak mampu untuk menerima lagi jumlah hujan yang besar.
“Kalau dilaksanakan lagi pembangunan di sana, maka risiko banjir akan lebih besar di kawasan itu. Sebab itulah kerjasama erat di antara majlis daerah, PBT, di peringkat negeri dan persekutuan ini amat penting.
“Bila garis panduan ini sudah dibangunkan, ikuti segala perancangan supaya risiko banjir ini dapat kita kurangkan,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab soalan asal, Fadillah berkata, bilangan PITB dijangka terus meningkat berdasarkan tempoh sah pelan, perubahan guna tanah, pertumbuhan penduduk serta kekerapan dan intensiti hujan semasa.
Katanya, sebanyak 14 PITB di Pantai Timur serta 12 PITB di Sabah dan Sarawak telah dan sedang dilaksanakan.
Selain itu, 140 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) telah diluluskan termasuk projek baharu dan sambungan. Di Pantai Timur, 29 projek bernilai RM9.377 bilion dikenal pasti dan berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan manakala Sabah melibatkan 15 projek bernilai RM1.49 bilion dan Sarawak 10 projek bernilai RM3.34 bilion.
Bagi mengurangkan risiko banjir termenung khususnya di kawasan rendah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah menempatkan 606 unit pam bergerak di seluruh negara sebagai langkah sokongan untuk mempercepat proses pengepaman air ketika hujan lebat berterusan. – MalaysiaGazette
















