KUALA LUMPUR – Sindiket penyeludupan migran didalangi lelaki Bangladesh dipatahkan selepas sebuah bengkel cat kenderaan yang dijadikan sebagai ‘safe house’ di Klang, Selangor diserbu semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, suspek berusia lingkungan 40 tahun itu ditahan selepas disyaki menjadi ejen utama mengatur pergerakkan migran dari sempadan negara dari Pantai Timur.
Katanya, tiga lelaki warga Bangladesh turut ditahan berusia 34 hingga 38 tahun disyaki ahli sindiket yang berperanan sebagai ejen pengatur, penghantar (transporter) dan penjaga rumah penampungan itu.
“Suspek akan mengatur pergerakan migran dari sempadan negara ke lokasi penempatan sebelum diserahkan kepada majikan tertentu untuk diekploitasi sebagai tenaga kerja.
“Migran terbabit akan diseludup masuk ke negara ini melalui laluan darat yang tidak diwartakan (jalan tikus) di sekitar sempadan Malaysia-Thailand sebelum di bawa ke ‘safe house’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan turut menemui tiga lelaki warga Bangladesh berusia 21 hingga 45 tahun dipercayai mangsa ekploitasi dan yang tidak mempunyai rekod kemasukan ke Malaysia.
“Dalam operasi ini, kita turut menyita sebuah kenderaan jensi Toyota Wish dipercayai digunakan untuk mengangkut migran manakala kesemua tujuh individu yang ditahan telah dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670] serta Akta Imigresen 1953/63 [Akta 155],” jelasnya. – MalaysiaGazette
















