KLANG – Sebuah butik pengantin antara tiga bangunan kelas A yang hangus dijilat api dalam kejadian di Jalan Sungai Saim, Kampung Rantau Panjang, di sini, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.52 pagi.
“Sepasukan 12 anggota dan pegawai serta tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Utara dan BBP Klang Selatan digerakkan ke lokasi kejadian pada pukul 7.02 pagi.

“Sebuah kedai butik pengantin berkeluasan 150 kaki persegi (kp) dan sebuah kedai runcit (1,200kp) hangus, masing-masing 98 peratus dan 80 peratus kebakaran.
“Sementara itu, sebuah rumah berkeluasan 800kp pula hanya terbakar 30 peratus,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kerja-kerja pemadaman yang diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohammad Hafizie Azely Abdul Wahap terkawal pada pukul 7.18 pagi.
Bagaimanapun, tambahnya, kebakaran tiga blok bangunan kelas A itu tidak membabitkan kemalangan jiwa.
“Kebakaran tidak melibatkan mangsa dan kerja-kerja pemadaman sedang dilakukan,” katanya. – MalaysiaGazette
















