Sapiah mengagihkan bubur kepada pengguna jalan raya pada Majlis Ramadan Berkat anjuran bersama MPHTJ dan SPRM di Ayer Keroh, Melaka hari ini.

MELAKA – Hotel butik di Malim Jaya yang mencetuskan kontroversi dengan konsep ‘mesra gay’ Januari lalu kini dibenarkan beroperasi semula selepas memadam hantaran promosi tersebut dan mematuhi semua syarat pihak berkuasa tempatan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Sapiah Haron berkata, lesen perniagaan hotel itu sebelum ini ditahan sementara untuk memberi penjelasan berhubung isu tersebut.

“Pihak hotel mendakwa, kecuaian promosi itu tidak disengajakan kerana diuruskan perkhidmatan syarikat dari luar negara
namun telah memadam konsep ‘mesra gay’ itu sebelum sesi pertemuan rasmi diadakan dengan pihak berkuasa.

“Selepas mematuhi semua syarat ditetapkan, hotel berkenaan dibenarkan beroperasi semula namun kita akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa untuk mengelak insiden sama berulang,” katanya.

Sapiah Haron

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramadan Berkat anjuran bersama MPHTJ dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, hari ini.

Terdahulu pada program majlis tersebut sebanyak 2,000 pek bubur kacang, pulut hitam dan pek Mamee telah diedarkan kepada pengguna jalan raya.

Pada 13 Januari lalu, MalaysiaGazette melaporkan tular satu hantaran di media sosial mendakwa kewujudan sebuah hotel berkonsepkan ‘gay friendly’ yang mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan warganet.

Menerusi hantaran ditulis pendakwah bebas itu, Firdaus Wong Wai Hung, beliau membangkitkan persoalan mengenai trend penjenamaan perniagaan menggunakan label ‘friendly’.

Susulan itu, premis berkenaan diserbu penguat kuasa MPHTJ dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), namun premis dibiarkan kosong tidak berkunci dipercayai telah dikosongkan sebelum disita pihak berkuasa tempatan itu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Ketidak tegasan penguatkuasaan punca segala galanya..Sudah terantuk baru nak tengadah. Soalannya adakah rezeki yg diterima ada keberkatan atau haram

Comments are closed.