Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan kegagalan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri mendapat sokongan dua pertiga semalam tidak boleh diletakkan di bahu pembangkang.

Sebaliknya, kata Ahli Parlimen Larut itu, ia berpunca daripada kelemahan pengurusan undi dalam kalangan Ahli Parlimen kerajaan sendiri.

Menurut beliau, blok kerajaan memiliki 154 Ahli Parlimen, namun gagal memastikan kehadiran penuh ketika proses pengundian, sekali gus menyebabkan RUU itu tidak mencapai majoriti diperlukan.

“Yang mahu salahkan pembangkang ini pasal apa? Kalau tengok daripada ucapan Ahli-ahli Parlimen pembangkang, semuanya mengatakan kami bersetuju tetapi dengan syarat.

“Kalau syarat itu tidak diambil kira, maka bermakna bukan kita tolak, kita berkecuali. Semua kita tidak mengundi. Ada yang keluar Dewan, ada yang tidak mengundi. Jadi nak salahkan kenapa?

“Sebab daripada awal lagi kita sudah maklumkan perkara ini. Apa yang jadi masalahnya adalah Ahli Parlimen kerajaan yang tidak mengundi, itu yang patut disalahkan.

“Kerana kerajaan mempunyai undi untuk mempertahankan usul mereka, bukan nak menyalahkan pembangkang yang berkecuali,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Semalam, RUU berkenaan hanya memperoleh 146 undi menyokong, manakala 32 Ahli Parlimen tidak hadir dan 44 lagi berkecuali, selepas dibahaskan oleh 41 Ahli Parlimen daripada kedua-dua blok.

Pindaan Perlembagaan memerlukan sokongan dua pertiga iaitu 148 Ahli Parlimen untuk diluluskan.

Hamzah menegaskan, pembangkang tidak pernah menolak secara mutlak pindaan tersebut, malah menyatakan persetujuan secara prinsip dengan beberapa syarat tertentu.

Beliau turut menyarankan kerajaan supaya lebih proaktif dalam memastikan kehadiran Ahli Parlimen blok mereka, terutama ketika pengundian penting.

“Kamu (kerajaan) sudah ada jumlah yang besar, 154 (Ahli Parlimen) adalah penyokong kerajaan. Kalau nak buat undang-undang yang dapat memastikan ada dua pertiga datang mengundi, kena panggil seorang-seorang Ahli (Parlimen) kerajaan.

“Kerajaan tanya… eh, kamu ada, kamu sakit ke, kamu dalam hospital ke, kamu macam mana, dalam trafik jem, semua itu kena tanya. Jadi, katalah dia (dalam) trafik jam, kita hantar nota pada menteri, minta menteri panjangkan sikit (ucapan perbahasan dan gulung), sebab ada dua, tiga orang tak sempat datang.

“Saya nak mengajar kerajaan, bukan nak sekolahkan tetapi saja-saja nak mengajar. Supaya perkara ni nanti tak timbul lagi. Kami mahu supaya rakyat faham bahawa pembangkang adalah satu-satunya kumpulan yang bersedia menyokong kalau perkara (RUU) itu baik,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast