Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memaklumkan Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen Ke-15 yang berlangsung selama 20 hari sejak 19 Januari lalu, berakhir hari ini selepas menyaksikan pelbagai urusan penting diselesaikan, termasuk meluluskan lima rang undang-undang (RUU).

Beliau berkata, sepanjang tempoh persidangan itu, terdapat hari mesyuarat yang berjalan secara berterusan tanpa rehat dan berakhir lewat malam.

“Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen Ke-15 telah berlangsung selama 20 hari mulai hari Isnin, 19 Januari hingga 3 Mac (hari ini) dan terdapat hari persidangan yang berlangsung secara terus tanpa rehat dan tamat pada lewat malam,” katanya ketika menyampaikan nota penutup di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, Dewan Rakyat turut meluluskan Usul Menjunjung Kasih atas Titah Diraja selain lima RUU dan beberapa usul lain termasuk usul membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026.

Katanya, perbahasanLKAN 1/2026 menyaksikan 35 Ahli Parlimen mengambil bahagian, manakala 12 kementerian menggulung perbahasan, dengan keseluruhan proses itu diputuskan dalam tempoh sehari.

Selain itu, beliau berkata, tiga penerangan daripada menteri-menteri dan dua penerangan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan berkaitan penyata yang dibentangkan turut diadakan sepanjang persidangan kali ini.

Johari turut memaklumkan bahawa Persidangan Kamar Khas yang diadakan di Dewan Persidangan telah memberi keselesaan kepada Ahli Parlimen, pegawai, pelawat serta wakil media untuk mengikuti perjalanan sidang.

Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Parlimen atas kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh persidangan.

“Saya dan Timbalan-timbalan saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah memberi kerjasama yang baik bagi membolehkan perjalanan Majlis Mesyuarat dapat disempurnakan sepanjang tempoh persidangan ini,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pegawai kerajaan, warga Parlimen khususnya Bahagian Pengurusan Dewan Rakyat serta wakil media dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam pengendalian urusan mesyuarat.

Pada akhir ucapan, beliau mengucapkan selamat pulang kepada semua Ahli Parlimen dan mendoakan mereka sentiasa sihat bersama keluarga, selain mengambil kesempatan mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa bagi baki Ramadan.

“Mesyuarat Dewan pada hari ini ditangguhkan hingga ke suatu tarikh yang tidak ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast