KUALA LUMPUR – Sesi sidang Dewan Rakyat pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) pagi ini bertukar kecoh sehingga terpaksa ditangguhkan selama kira-kira lima minit.
Ia berikutan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berulang kali bangun memohon laluan selepas jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun tidak dibenarkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor.
Insiden tercetus sejurus selepas Perdana Menteri menjawab soalan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Hamzah bangun untuk mencelah dan beberapa kali menegaskan beliau berbuat demikian atas kapasiti sebagai Ketua Pembangkang.
Situasi menjadi semakin kecoh apabila beberapa Ahli Parlimen turut bangun mencelah, termasuk Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang turut memohon laluan mengikut Peraturan Mesyuarat, namun tetap tidak dibenarkan oleh Ramli.
“Saya telah membuat keputusan. Tunggu sekejap… saya tidak akan tarik balik keputusan saya,” kata Ramli yang meminta Ahli Parlimen duduk dan menghormati keputusan itu.
Ketegangan itu akhirnya membawa kepada penangguhan kira-kira lima minit sebelum sesi disambung semula.
Tidak lama selepas itu, Hamzah dalam sidang media di Parlimen berkata, beliau bukan mahu mencetuskan pertikaian peribadi susulan kekecohan tersebut, sebaliknya mahu menjelaskan pendirian pembangkang berhubung isu yang dibangkitkan Perdana Menteri berkaitan laporan media luar negara termasuk Bloomberg.
Menurutnya, laporan media antarabangsa khususnya Bloomberg yang dikenali sebagai media penyiasatan itu wajar diberi perhatian serius kerana reputasinya yang sering mendedahkan maklumat tepat.
“Apabila timbul laporan daripada media luar negara seperti Bloomberg, ia menimbulkan persoalan kerana ini media ‘investigative’ yang selalu mendapat maklumat tepat. Sebab itu saya dengar dengan tekun jawapan Perdana Menteri,” tegasnya.
Hamzah berkata, Anwar mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa untuk menilai laporan media luar negara dan menentukan sama ada ia membawa unsur hasutan sehingga boleh menjejaskan kerajaan atau negara.
“Itu cadangan yang baik. Sebagai pembangkang, kami adalah platform ‘check and balance’. Yang baik kita terima, yang kurang baik kita beri pandangan, yang tak baik kita tentang. Itu peranan kami,” ujarnya.
Beliau menegaskan pembangkang bersetuju dan menyambut baik cadangan tersebut, namun pada masa sama tetap berhak mempertikaikan isu yang menyentuh kepentingan negara.
“Saya ingin bangun dan jelaskan bahawa kami bersetuju dengan cadangan itu dan sambut dengan tangan terbuka. Tetapi dalam masa yang sama, kita juga berhak bertanya dan mendapatkan penjelasan,” katanya.
Hamzah turut menyentuh soal budi bicara Timbalan Speaker yang menurutnya perlu digunakan secara lebih terbuka.
“Budi bicara itu betul, tapi biarlah budi bicara yang boleh diterima majoriti, bukan diri sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette















