JAINJ cekup janda dan dua lelaki dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Dato Onn, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menahan seorang janda yang disyaki sedang berkhalwat dengan dua lelaki dalam sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Dato Onn, di sini semalam.

JAINJ dalam satu kenyataan memberitahu, operasi mencegah maksiat tersebut dilakukan pukul 12 tengah hari selepas mendapat maklumat awam melalui talian aduan JAINJ.

“Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, penguat kuasa mengetuk pintu sebelum dibuka lima minit kemudian oleh seorang lelaki.

“Penguat kuasa memperkenalkan diri dan masuk ke dalam rumah sambil meminta lelaki itu bekerjasama,” menurut kenyataan tersebut.

JAINJ memaklumkan, pemeriksaan mendapati tiada sesiapa di tingkat bawah rumah itu, manakala di tingkat atas terdapat tiga bilik yang ditutup pintu.

Katanya, lelaki yang membuka pintu rumah itu memberitahu dia menghuni di bilik pertama dan pemeriksaan menemukan seorang lagi lelaki sedang tidur.

Ujarnya, penguat kuasa terus mengetuk bilik ketiga tetapi tidak dijawab sebelum membuka pintu dan mendapati bilik itu dalam keadaan terang.

“Penguat kuasa menemui seorang lelaki hanya berseluar pendek sedang tidur atas tilam bujang sebelah kiri. Selang 2 meter di sebelah kanan pula ada dua orang sedang tidur atas tilam kelamin.

“Orang itu kemudian tersedar dengan kehadiran penguat kuasa. Lelaki itu bangun dengan berpakaian seluar panjang dan berlenggang tidak berbaju. Di sebelahnya ada seseorang dalam selimut dan menutup muka dan keseluruhan badan.”

Jelas JAINJ, pemeriksaan mendapati individu dalam selimut itu adalah seorang wanita yang berpakaian seluar panjang dan t-shirt.

Tambahnya, hasil soal siasat ke atas dua lelaki dan wanita berkenaan mendapati mereka bukan suami isteri dan tiada hubungan mahram.

Ujarnya, lelaki pertama dan kedua masing-masing berumur 30-an merupakan rakan baik di tempat kerja yang sama dan kedua-duanya masih bujang, manakala wanita pula berusia 30-an serta berstatus janda bekerja di Johor Bahru.

“Apabila disoal penguat kuasa, wanita ini mengatakan dia kurang sihat dan perlu berehat di rumah lelaki ini,” katanya.

Pasangan itu kemudian ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997 kerana berkurung dalam bilik sehingga mendatangkan syak.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast