JOHOR BAHRU – Johor memperkenalkan beberapa inisiatif meningkatkan mutu pusat jagaan wanita, kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Cik Khairin-Nisa Ismail berkata, langkah tersebut diambil selepas mempelajari pendekatan pengurusan pusat penjagaan dan kebajikan di Singapura.
Beliau memberitahu, antara inisiatif yang diperkenalkan adalah Program Latihan Child Support Team Negeri Johor serta sistem penganugerahan penarafan lima bintang bagi pusat jagaan di negeri itu.
“Langkah ini diambil susulan lawatan kerja saya ke Singapura pada 2022 dan 2023, termasuk ke Child Protection Specialist Centre dan Enabling Village.
“Lawatan berkenaan memberi peluang kepada kerajaan negeri melihat secara langsung dan mempelajari bagaimana Singapura mengurus pusat perlindungan wanita, kanak-kanak, warga emas dan OKU secara tersusun serta profesional,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Berbuka Puasa bersama Media Negeri Johor dan Penyampaian Bantuan Kasih Johor (BKJ) Pengamal Media 2.0 di Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor, Saujana, di sini malam tadi.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah.
Katanya, sistem penarafan yang diperkenalkan itu merangkumi pusat jagaan kanak-kanak, warga emas, golongan OKU serta pusat perlindungan wanita dan kanak-kanak.
Beliau berkata, penarafan antara satu hingga lima bintang diperkenalkan bagi memastikan pemantauan berterusan terhadap tahap perkhidmatan dan keselamatan di pusat jagaan.
“Kita mahu memastikan pusat jagaan mematuhi piawaian ditetapkan. Jika terdapat kes pengabaian atau penderaan, tindakan termasuk penutupan boleh diambil,” ujarnya.
Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri memperuntukkan RM300,000 pada tahun ini bagi melaksana latihan serta program pemantapan kepada pengendali pusat jagaan dan pasukan sokongan kanak-kanak.
Jelasnya, program berkenaan termasuk latihan terapi pertuturan dan beberapa kaedah pemulihan lain yang dijalankan melalui kerjasama komuniti serta pusat pemulihan dalam komuniti (PDK).
Selain itu katanya, kerajaan negeri meneruskan pelbagai inisiatif kebajikan melalui Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang memfokuskan kepada golongan ibu tunggal, OKU, anak yatim serta keluarga memerlukan.- MalaysiaGazette
















