Jalex Lee En Xiang

JOHOR BAHRU – Kerajaan perlu meneliti dengan lebih cermat langkah pindaan Perlembagaan berkenaan pemisahan peranan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Pendakwa Raya (PP).

Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Jalex Lee En Xiang berkata, pindaan yang bakal dibentangkan itu diharap mendapat sokongan semua pihak termasuk blok pembangkang tidak seperti yang berlaku terhadap Rang Undang-Undang (RUU) mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri yang gagal mencapai majoriti dua pertiga di Parlimen kelmarin.

Ketua AMK Cabang Tebrau itu turut kecewa apabila reformasi bersifat progresif bertujuan membawa Malaysia ke arah masa depan yang lebih baik, gagal diluluskan dalam sidang Parlimen kerana tiada jumlah undian yang mencukupi.

“Sungguh menyedihkan apabila melihat satu reformasi yang begitu hampir untuk berjaya, akhirnya tersungkur di saat-saat akhir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi mencapai majoriti dua pertiga memerlukan bukan sahaja angka yang cukup tetapi keberanian, keyakinan dan kesediaan merentasi perbezaan politik demi meletakkan kepentingan negara mengatasi percaturan politik.

“Reformasi ini mungkin tidak sempurna, tetapi ia tetap membawa makna. Kemajuan, walaupun sedikit demi sedikit, sentiasa lebih baik daripada terus berada di takuk lama,” jelasnya.

En Xiang mengakui reformasi tidak pernah mudah, namun dalam pindaan pemisahan peranan AGC dan PP, semua Ahli Parlimen diharapkan dapat mengetepikan perbezaan parti dan menunjukkan kematangan demi kepentingan negara.

Beliau turut memohon semua pihak dapat sekali lagi menunjukkan perpaduan dwipartisan seperti 2019 apabila Undi-18 diluluskan sebulat suara apabila semua Ahli Parlimen menyedari tanggungjawab besar mereka terhadap rakyat.

“Detik tersebut membuktikan bahawa apabila kepentingan negara diutamakan, perbezaan politik dapat diketepikan.

“Namun, inilah realiti reformasi. Ia tidak semudah yang disangka. Keazaman politik itu penting, tetapi kadangkala ia sahaja tidak mencukupi,” ujar beliau.

En Xiang juga berharap dalam usaha reformasi pada masa akan datang, pihak pembangkang akan memilih bersama-sama memperkukuh institusi dan memajukan demokrasi negara.

Negara, katanya, memerlukan sokongan yang jelas dan meyakinkan bagi memastikan perubahan bermakna dapat direalisasikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast