JOHOR BAHRU – Seorang pemuda maut selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar sebatang pokok di kilometer 17 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, kemalangan berlaku pukul 3.45 petang melibatkan kereta jenis Nissan Cefiro.
“Kejadian berlaku melibatkan kenderaan dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun dari arah Senai menuju ke Skudai yang hilang kawalan lalu terbabas melanggar sebatang pokok di pembahagi jalan berkenaan.
“Akibat kemalangan tersebut mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu dan berbahaya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Zulhisham Aziz di talian 019-7432966.- MalaysiaGazette
















