Timbalan Setiausaha Agung Keadilan merangkap Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), G Sivamalar.

KUALA LUMPUR – Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), G. Sivamalar menyifatkan kegagalan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada 10 tahun sebagai satu kerugian besar kepada agenda reformasi institusi negara.

Menurutnya, pembentangan pindaan itu di Dewan Rakyat kelmarin merupakan langkah penting dalam usaha memperkukuh sistem tadbir urus negara serta memastikan keseimbangan kuasa dalam sistem demokrasi.

Katanya, cadangan pindaan tersebut juga mencerminkan keberanian Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membawa pembaharuan yang secara langsung menyentuh jawatan ketua kerajaan.

“Langkah mengehadkan tempoh perkhidmatan bagi jawatan sedang disandang bukan keputusan mudah, namun ia menunjukkan komitmen jelas untuk memperkukuh sistem tadbir urus negara melalui perubahan institusi yang konkrit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, di banyak negara lain had tempoh kepimpinan sudah diperkenalkan bagi memastikan keseimbangan kuasa dalam demokrasi.

Katanya, ia termasuk di Thailand melalui pindaan Perlembagaan pada 2017 yang menetapkan seseorang Perdana Menteri tidak boleh memegang jawatan melebihi lapan tahun secara keseluruhan.

Bagaimanapun, tambahnya, di negara ini, pindaan sedemikian gagal diluluskan di Dewan Rakyat hanya kerana kekurangan dua undi.

“Dua undi telah memisahkan Malaysia daripada satu reformasi institusi yang penting.

“Ia bukan gagal kerana idea itu lemah atau tidak mendapat sokongan rakyat, tetapi kerana terdapat Ahli Parlimen tidak hadir dengan alasan remeh, malah ada yang memilih untuk mengutamakan percaturan politik berbanding kepentingan negara,” ujarnya.

Sivamalar pada masa sama merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang memberikan sokongan penuh terhadap pindaan tersebut, khususnya wakil rakyat PKR.

Menurutnya, sokongan 100 peratus yang ditunjukkan itu mencerminkan disiplin serta komitmen wakil rakyat parti tersebut dalam menjayakan agenda reformasi yang telah lama diperjuangkan.

“Perbezaan pandangan dan perbahasan yang lantang adalah lumrah dalam demokrasi.

“Namun, apabila menyentuh agenda reformasi yang melibatkan masa depan institusi negara, wakil-wakil rakyat PKR tetap berdiri bersama secara kolektif.

“Ini membuktikan kepentingan nasional sentiasa diletakkan mengatasi kepentingan peribadi atau pertimbangan politik jangka pendek,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut meluahkan kekecewaan terhadap sikap pembangkang yang tidak memberikan sokongan kepada pindaan tersebut walaupun ia melibatkan reformasi institusi yang penting.

Menurutnya, undian Ahli Parlimen seharusnya mencerminkan aspirasi rakyat dan bukannya dipengaruhi percaturan politik sempit.

Sivamalar juga menyifatkan kegagalan sebahagian Ahli Parlimen kerajaan sendiri untuk hadir menyokong pindaan tersebut sebagai sesuatu yang mengecewakan.

Beliau menegaskan rakyat Malaysia sudah penat dengan drama politik serta permainan strategi yang menghalang keputusan penting untuk masa depan negara.

“Reformasi institusi bukan isu partisan. Ia soal masa depan negara dan generasi akan datang.

“Rakyat berhak mendapat kepimpinan yang matang, berprinsip dan benar-benar komited membina negara,” tegasnya lagi.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast