PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan harta-harta bernilai berbilion ringgit di beberapa negara milik bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin hasil siasatan daripada Op Godfather.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya sedang menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa di negara-negara berkenaan sebelum sebarang tindakan boleh diambil termasuk rampasan mahupun sitaan.
“Kami juga mempunyai senarai harta-harta di beberapa negara, saya tak nak sebut negara-negara berkenaan dan juga jumlahnya, tapi berbilion ringgit yang mana kami telah kesan.
“Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin sedang membuat kolaborasi dan juga perbincangan dengan autoriti daripada negara-negara berkenaan.
“Ini kerana kita perlu mematuhi undang-undang mereka di bawah Persefahaman Perundangan Bersama (MLA),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.
Selain itu, Azam juga mengesahkan seorang dari empat anak bekas Menteri Kewangan terbabit sudah menghubungi SPRM bagi membantu melengkapkan siasatan.
“Setakat ni seorang daripadanya (anak arwah Tun Daim) baru hubungi kami, manakala tiga lain kita tak tahu keberadaan mereka.
“Kita telah menggesa melalui pihak peguamnya untuk menghubungi tiga-tiga mereka yang lain ini supaya hadir secepat mungkin ke pejabat kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















