Jalex Lee

JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) perlu mengelak isu berkenaan perebutan kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana boleh menimbulkan persepsi gabungan politik itu rakus kuasa.

Pengarah Pilihan Raya Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Jalex Lee En Xiang berkata, gabungan parti itu sebaliknya perlu memperlihatkan kesungguhan untuk bekerjasama sebagai satu pasukan demi memperjuangkan kepentingan rakyat Johor.

Beliau yang juga Ketua AMK Cabang Tebrau berkata, PH perlu menampilkan kesatuan yang lebih jelas dan matang dalam menghadapi PRN Johor tidak lama lagi.

“Kenyataan yang boleh menimbulkan persepsi perpecahan tidak sesuai pada masa ini.

“Setiap parti komponen dalam PH seharusnya menumpukan sepenuh perhatian kepada gerak kerja organisasi, pengukuhan jentera di peringkat akar umbi serta usaha menambah nilai kepada kekuatan kolektif PH,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keutamaan PH bukan untuk menonjolkan kepentingan parti masing-masing secara berasingan, tetapi untuk memperkukuhkan gabungan supaya mampu menawarkan kepimpinan yang stabil dan diyakini rakyat Johor.

Terdahulu, Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dr Zuhan Zain hari ini dilaporkan berkata, pihaknya akan mengambil semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa yang sebelum ini dipinjamkan kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

Bagaimanapun Ketua AMK Johor, Faezuddin Puad dalam reaksinya berkata, kerusi DUN Puteri Wangsa bukan milik mana-mana parti dan soal pembahagian kerusi perlu ditentukan secara rasional.

Pada PRN Johor lalu, MUDA menerusi Pemangku Presidennya, Amira Aisya Abd Aziz menang DUN Puteri Wangsa dengan majoriti 7,114 undi dalam pertandingan enam penjuru.

MUDA ketika itu menang kerusi tersebut atas sokongan PH meskipun tidak menyertai gabungan politik berkenaan ketika itu, namun bersetuju mengadakan pakatan pilihan raya (electoral pact) bagi menghadapi PRN Johor.

MUDA kemudian menyertai Kerajaan Perpaduan sebelum mengumumkan keluar daripada kerajaan pimpinan PH pada 2023 sebagai tanda protes terhadap tindakan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuahnya.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast