KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad, menyeru pimpinan gabungan Perikatan Nasional (PN) agar menampilkan kematangan politik dan keterbukaan dalam menghadapi masa depan, dengan menekankan kepentingan mengutamakan negara berbanding perselisihan lama.
Menurut beliau, PN telah terbukti sebagai platform politik yang paling berpotensi menyatukan pengundi Melayu dalam pilihan raya lalu, namun gabungan itu tidak seharusnya dilihat sebagai wadah eksklusif etnik tertentu.
“PN perlu bersikap terbuka dalam menerima mana-mana parti atau organisasi yang berkongsi aspirasi perjuangan dan berhasrat menyertai gabungan ini.
“Kepimpinan mesti menunjukkan kematangan politik dan keterbukaan untuk memperkukuh kedudukan PN sebagai wadah politik arus perdana negara,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Iskandar menegaskan bahawa pimpinan PN perlu berjiwa besar, mengenepikan pertelingkahan dan dendam lama demi kepentingan rakyat dan masa depan negara.
Beliau turut mengingatkan bahawa imej politik yang menunjukkan kecenderungan untuk membalas dendam akan sentiasa diperhatikan rakyat, yang menilai setiap tindakan pemimpin dengan teliti.
“Seorang negarawan tidak sepatutnya menyimpan dendam. Tetapi negarawan perlu berupaya melihat kepada matlamat yang lebih besar,” tambah beliau.
Dalam pandangannya, PN mempunyai peluang untuk memperkukuh kedudukannya sebagai gabungan arus perdana jika pimpinan mengambil pendekatan inklusif, bersikap terbuka, dan menumpukan pada agenda pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat.
Beliau juga menyeru agar setiap pemimpin dalam gabungan itu mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan politik peribadi atau perebutan kuasa dalaman.
Seruan itu muncul ketika arena politik PN turut hangat dengan kenyataan balas Naib Presiden Pas merangkap Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, terhadap kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhubung status calon Perdana Menteri gabungan tersebut.
Samsuri sebelum ini menegaskan bahawa beliau sendiri tidak pernah mengisytiharkan dirinya sebagai calon Perdana Menteri, malah menyindir bahawa Muhyiddin juga bukan lagi calon Perdana Menteri PN, sekali gus mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan pemerhati politik. – MalaysiaGazette
















