MELAKA – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memperuntuk keseluruhan RM11.9 juta bagi melaksanakan pelbagai program kebajikan dan pengimarahan sepanjang Ramadan tahun ini.
Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM6,578,850 diperuntukkan bagi agihan Bantuan Persediaan Ramadan kepada 23,840 penerima.
“Ia terdiri daripada 8,601 Ketua Isi Rumah (KIR) dan 15,239 Ahli Isi Rumah (AIR) asnaf fakir dan miskin, selain 2,300 mualaf yang turut menerima manfaat.
“Bantuan Syawal kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf pula melibatkan peruntukan sebanyak RM1,402,650 bagi memastikan golongan berkenaan dapat menyambut Syawal dengan lebih bermakna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program “Sinar Kasih Ramadan Bersama Anak-Anak Asnaf Anjuran Zakat Melaka dan Sinar Jernih Sdn. Bhd di Jakel Melaka, Taman Bukit Piatu Mutiara di sini hari ini.
Ia melibatkan seramai 60 anak-anak fakir, miskin dan yatim yang diraikan melalui pembelian set kelengkapan baju dan duit raya disampaikan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.
Mengulas lanjut, Shaifulfazlee berkata, MAIM turut melaksanakan penambahbaikan kadar bantuan apabila Bantuan Syawal bagi asnaf fakir, miskin dan mualaf dinaikkan kepada RM150 berbanding RM100 sebelum ini, melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1,365,000.

“Kadar Bantuan Ramadan bagi asnaf miskin juga dinaikkan kepada RM300 berbanding RM250 sebelum ini dengan tambahan implikasi kewangan sebanyak RM2,460,000.
“Dalam pada itu, Program Ihya’ Tarbawi Ramadan (IhTiRam) memperuntukkan RM553,450 di bawah kategori fisabilillah, manakala Sumbangan Ihya’ Ramadan kepada masjid dan surau seluruh Melaka melibatkan RM1,699,500,” tambahnya.
Sebanyak 789 siri Program Taqarrub Ramadan 1447H/2026M dianjurkan melibatkan 195 masjid dan 594 surau dengan penyertaan 139 penceramah serta 79 pengelola, selain saguhati RM500 kepada setiap masjid dan surau, membabitkan peruntukan RM560,000.
Selain itu, Program Imam Tahfiz Ramadan dan pelbagai lagi inisiatif lain turut dilaksanakan dengan peruntukan fisabilillah sebanyak RM1,132,400 bagi memastikan pengisian rohani umat Islam di negeri ini terus diperkasa sepanjang bulan mulia. – MalaysiaGazette
















