KUALA LUMPUR – Pelbagai usaha untuk menghubungi penganalisis politik, James Chai yang juga bekas pembantu kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang dikesan berada di United Kingdom sejak 24 Februari lalu gagal sebelum notis pencarian dikeluarkan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dalam kenyataan berkata, individu terbabit dengan nama penuhnya Chai Jin Shern turut menyekat aplikasi WhatsApp pegawai penyiasat yang cuba menghubunginya beberapa kali.
“Mulai 24 Februari lalu, pegawai penyiasat telah menghubungi di aplikasi WhatsApp yang dikenali sebagai kepunyaan James Chai tetapi tidak dibalas.
“Setelah beberapa percubaan untuk menghubunginya tanpa respons, akhirnya nombor pegawai penyiasat telah disekat (block) oleh James Chai pada 26 Februari lalu.
“Justeru, dakwaan SPRM tidak cuba menghubungi beliau sebelum mengeluarkan notis tersebut adalah tidak benar sama sekali.
“Sekiranya James Chai tiada sebarang perkara yang ingin disembunyikan, individu terbabit harus tampil untuk memberi kerjasama kepada agensi itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah SPRM, cubaan untuk menggambarkan prosedur siasatan yang lazim sebagai tindakan menzalimi individu adalah tidak wajar dan berniat jahat, malah tiada sesiapa yang berada di atas undang-undang.
“Proses siasatan akan diteruskan secara profesional dan berasaskan bukti, dan mana-mana individu yang dipanggil untuk membantu siasatan sewajarnya memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, bukannya mengelak atau sengaja mewujudkan naratif awam yang mengelirukan.
“Tugas dan tanggungjawab James Chai sebagai seorang warganegara adalah memberi kerjasama kepada pihak berkuasa apabila timbul keperluan dan bukannya memberikan alasan yang tidak munasabah dan menimbulkan persepsi negatif terhadap pihak penguat kuasa,” tegasnya.
Tambah SPRM, pihaknya memandang serius kenyataan James Chai kerana beberapa dakwaan yang dibuat adalah tidak tepat, mengelirukan serta memberi gambaran yang salah kepada masyarakat mengenai prosedur siasatan yang dilaksanakan oleh SPRM.
“Sidang media yang dirujuk merupakan sidang media bulanan SPRM yang diadakan secara berkala bagi memaklumkan kepada pihak media mengenai perkembangan beberapa siasatan yang sedang berjalan.
“Antara kes yang disentuh termasuk Op Middlemen yang berjaya membongkar sindiket orang tengah yang menguruskan rasuah kepada pegawai penguat kuasa bagi membolehkan kenderaan berat melanggar peraturan keselamatan jalan raya.
“Selain itu, kes e-waste haram yang membabitkan siasatan ke atas Jabatan Alam Sekitar (JAS), Op Heart, siasatan melibatkan IJM, serta Op Godfather yang berkaitan kes Toh Puan Nai’mah Ab Khalid, ahli keluarga dan sekutunya.
“Oleh itu, dakwaan bahawa sidang media tersebut diadakan semata-mata untuk menyasarkan James Chai adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali,” jelasnya.
Tambah SPRM, pengeluaran notis terbabit merupakan prosedur siasatan standard yang digunakan apabila pelbagai usaha untuk menghubungi individu berkenaan gagal, termasuk melalui panggilan telefon, lawatan ke alamat terakhir yang diketahui atau kaedah lain yang munasabah.
“Perlu ditegaskan bahawa notis mengesan bukan satu tuduhan jenayah dan tidak membawa sebarang kesimpulan bahawa individu berkenaan telah melakukan kesalahan, ia satu langkah bagi mengesan individu yang diperlukan untuk membantu siasatan.
“Dalam siasatan ini, seramai 12 individu termasuk seorang Menteri Persekutuan telah dipanggil dan kesemua telah memberikan kerjasama kepada SPRM,” ujarnya.
Katanya lagi, sebagai makluman, SPRM secara purata telah mengeluarkan antara dua hingga lima Notis Mengesan Individu setiap minggu bergantung kepada keperluan siasatan.
“Naratif sedemikian bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah berpotensi menjejaskan keyakinan awam terhadap proses penguatkuasaan undang-undang yang sah, khususnya ketika siasatan masih berjalan.
“SPRM menegaskan bahawa suruhanjaya ini sentiasa berpegang kepada “presumption of innocence” atau prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.
“Oleh itu, seseorang yang dipanggil untuk membantu siasatan tidak bermaksud orang itu bersalah atau telah melakukan satu kesalahan,” katanya. – MalaysiaGazette
















