MELAKA – Tiada keperluan untuk memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) baharu susulan insiden kekecohan di Balai Polis Meru, Isnin lalu, yang disifatkan sebagai kes terpencil.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau juga kecewa terhadap apa yang dilaporkan di media sosial kononnya sekumpulan lelaki India menyerang balai polis.
“Cerita sebenar adalah dua kumpulan bergaduh di luar, sebelum satu (pihak) masuk ke balai polis untuk buat laporan tapi pihak satu lagi masuk menghalang.
“Tapi cerita di luar (media sosial) kata lelaki India serang balai polis (jadi) kita tengok bagaimana tak bertanggungjawabnya (sehingga), timbul isu keselamatan dan SOP balai polis,” katanya.

Saifuddin Nasution (tengah) menghadiri Majlis Penerapan Nilai-Nilai & Majlis Iftar Bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Kompleks KDN, Ayer Keroh, Melaka hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penerapan Nilai-Nilai & Majlis Iftar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Kompleks KDN, Ayer Keroh, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, insiden itu tidak mencerminkan kelemahan tahap keselamatan balai polis di seluruh negara dan orang ramai tidak perlu bimbang.
“SOP tak boleh kita bina (ubah) ketika satu pihak datang membuat aduan, pihak yang lain tolong tunggu luar pagar…pasukan polis sedia terlatih (tapi) yang kita perlu tekankan adalah pelaporan berita yang benar dan sahih.
“Tidak syak lagi, ini satu kes terpencil, kita ada IGPSO (Perintah Tetap Ketua Polis Negara), jadi semua balai polis kita tertakluk (arahan rasmi yang dikeluarkan). Tak boleh anggap satu insiden begitu (mewakili semua),” katanya.
Terdahulu, media melaporkan perebutan kawasan sekuriti di sebuah tapak perumahan dipercayai menjadi punca kejadian kekecohan dan pergaduhan dalam Balai Polis Meru, Isnin lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata, siasatan mendapati semua suspek yang ditahan saling mengenali antara satu sama lain dan mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap.
Sehingga kini, lapan lelaki tempatan ditahan dalam tiga siri tangkapan berasingan yang mana tangkapan pertama seramai lima suspek berumur 28 hingga 41 tahun, manakala tangkapan kedua dan ketiga membabitkan tiga lelaki berusia antara 39 hingga 44 tahun. – MalaysiaGazette.
















