Tangkap layar video yang tular memaparkan seorang wanita meminta dua ekor gajah 'pulang' selepas masuk kawasan perumahan di Bukit Samsu, Kota Tinggi.

KOTA TINGGI – Tular dua ekor gajah dewasa yang masuk di kawasan perumahan di Bukit Samsu di sini seakan mendengar arahan seorang penduduk apabila meninggalkan kawasan tersebut selepas disuruh pulang.

Menerusi video berdurasi 21 saat yang tular dalam media sosial memaparkan dua ekor gajah dewasa sedang membawa daung pisang berada di kawasan tersebut pada waktu malam.

“Balik… Haa, balik… Haa dah bawa balik… Ni haa dua ekor ni… Haa dah, pergi balik…,” ujar seorang wanita dalam nada lembut sebelum kedua-dua gajah tersebut seakan ‘faham’ dan meninggalkan tempat itu.

Keterangan dalam video tular itu juga menghiburkan apabila berkata situasi tersebut berlaku kerana penduduk setempat sudah biasa ‘berkongsi’ tempat tinggal dengan hidupan liar.

“Bila dah terbiasa berkongsi tempat dengan hidupan liar, macam tu je akak halau gajah itu balik,” tulisnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Aminuddin Jamin ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.

Bagaimanapun, katanya, anggota Perhilitan sudah diarahkan untuk menyiasat insiden berkenaan.

“Setakat ini, kita belum terima lagi laporan. Anggota kita akan siasat,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast